Ombak tak akan berhenti menghempas pantai selagi ada angin yang tak pernah berhenti menghembus.
Showing posts with label Tentang hidup. Show all posts
Showing posts with label Tentang hidup. Show all posts

Sunday, October 20, 2013

2013-Jangan Putus Asa Sayang!

2,3 hari lepas duk berbual dengan seseorang ni. Katanya dekat 10 tahun dah kawin, tapi tak reti-reti lagi masak. Sampai anak dia pun reti komplen. Jadi, untuk tidak mengecewakan anak dan suami, dia suka beli je. Dia dah mula rasa kecewa dan give up untuk masak. So, dia tanya aku, macam mana nak pandai masak?

Teringat la aku dulu-dulu. Dulu time bujang aku memang tak pandai dan tak minat masak. Siang ikan pun tak reti. Sampaikan kawan serumah aku cakap, "Tak paham aku kau ni. Nak kata anak bongsu yang manja, kau anak sulung. Tapi siang ikan pun tak reti!" Malu je dengar kawan aku cakap gitu. Tapi aku buat selamba sambil gelak-gelak untuk cover malu. Padahal aku masuk kelas ERT tu. Tu pun sebab mak suruh masuk. Pastu ikut je arahan cikgu. Suruh masak itu, masak. Sikit pun tak rasa nak minat. Lepas tu bila ada orang tanya reti tak masak itu, masak ini? Dan-dan je aku kata aku reti padahal hakikatnya adalah sebaliknya. Market kenalah jaga kan.... :P

Sehari sebelum nikah, aku cakap dengan mak aku tak reti siang ikan. Mak aku ngucap panjang. Katanya "Tu la...time orang masak kat dapo, dia duk senyap-senyap dalam bilik. Bukan nak tengok orang buat kerja!" Pastu mak aku bebel-bebel. Standard la mak-mak kan. Tapi takleh salahkan aku gak. Dari kecik aku banyak duduk dengan nenek. Biasalah kalau jadi cucu kesayangan mana ada kena suruh buat itu ini. Kalau balik rumah pun ada orang gaji yang buatkan. Itu yang jadi manja terlampau sampai malas serba-serbi. Pastu kalau kena tinggal sorang-sorang kat rumah, biasanya mak aku dah sediakan bahan. Aku cuma tinggal masakkan saja. Takde kena siang-siang de. Eh! Pandai je bela diri. Salah sendiri tak belajar tak nak ngaku.

Lepas dah kawin, hambik kau. Dapat suami yang suka makan ikan. Suka menu lauk-lauk kampung. Lagi, tak suka makan kat luar. Lemahnya rasa, tak reti serba-serbi. Hari-hari call mak mintak resepi, tanya macam mana nak masak itu, macam mana nak masak ini. Tapi bila hari-hari call mak aku pun macam dah malas nak layan. Sampai bila nak harapkan mak je kan. Kadang-kadang tanya mak mertua tapi jarang sangat pasal segan + malu.  Nasib baik suami baik. Dia yang ajar masak (sambil mengutuk! huhu..). Dia yang ajar macam mana nak petik pucuk ubi. Bangangnya aku masa tu bila diingatkan. Banyaknya benda yang aku tak tahu. 

Tapi bila mengandungkan Naqib tetiba aku jadi suka pulak masak. Roh masak datang la tu! Selalu masuk internet cari resipi. Aku jumpa satu grup masak-masak, terus join. Siapa dulu pernah join Grup Restoran Pak Amir? Kat situ macam-macam resipi ada. Tapi sekarang ni tak tau la ada lagi ke tak grup tu. Aku selalu la cuba masak guna resipi kat situ. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi. Mangsanya suami aku la. Buat puding kastad tak jadi, buat kuih keria pun keras. Buat puding buih mendap. Macam-macam. Tapi dia telan je. Sabar je suami aku layan bininya yang tak reti masak.

Lepas beranakkan Naqib aku berenti kerja. Jadi makin tak de alasan untuk beli makanan di luar. Kau ingat suami aku nak kasi can ke aku duduk sila panggung, silang tangan je kat rumah?  Dahlah dia sorang je yang keluar cari rezeki! Masaklah apa-apa yang aku reti masak. Ulang-ulang menu yang sama. Haha.. Tapi dari situ lah aku mula belajar dan develop skil masak. Bila terdesak kita akan jadi kreatif! Sekarang pun aku ni bukan pandai masak mana pun, lepaslah nak bagi keluarga makan. Nak masak sedap tara mana sangat pun. Bukan kita nak bukak restoran pun kan? 

Jadi, ikutkan dari pengalaman aku, rasanya tak terlambat untuk kita belajar masak asalkan ada minat dan usaha. Bila takde yang dua itu, itu yang menyebabkan kita malas masak. Masak sekali sekala memang tak jadi. Kena buat hari-hari. Memasak ni perlukan pengalaman. Tengok mak-mak dan nenek-nenek kita, ada diorang belek resipi time masak? Takde kan? Sebab diorang duk selalu masak hari-hari. Otomatik jadi reti sendiri nak mengagak sukatan lemak-masin-manisnya. Kadang-kadang masak simple je, tapi sedapnya kemain. Air tangan juga mainkan peranan yang penting. Nak masak, kuku biar pendek, tangan biar bersih. Bukan sebab dari sudut agamanya sahaja menyaran kebersihan, tapi dari segi sainsnya juga. Kekotoran yang ada pada kuku tu boleh menjangkitkan kuman ke dalam makanan.

Tak reti boleh belajar. Tak tau boleh tanya. Kalau benak sekali pun takkan goreng telur dadar pun fail! Tambah lagi kat internet, melambak-lambak resipi. Ko tinggal petik je nak resipi apa. Antarabangsa tak antarabangsa semua ada. Video masak pun berjenis-jenis. Sampai lebam bijik mata lah kalau kau tengok. Yang tinggal cuma USAHA. Harapan tetap ada kalau kita usaha. Kalau kita sekadar merenung nasib diri dan tak buat apa-apa, mana nak datang hasilnya.

Bak kata Adnan Sempit, " Di mana ada kemahuan, di situ ada highway!"
Makanya, jangan  GIVE UP!




Tuesday, September 4, 2012

2012-Cerita 125-Mood: Rodok Garpu Masuk Mulut Kasi Garu

Lepas raya ni dapat batuk, demam. Suara sekejap kepit sekejap kaso. Sampaikan segan nak bercakap. Satu malu dengan suara yang tak tentu hala tunenya. Satu lagi pasal bila bercakap je rasa nak batuk. Pergi beraya rumah orang hujung minggu baru ni pon banyak senyap je. Makan pun memilih. Kuih raya memang tak sentuh. Takut tengah makan tiba-tiba terbatuk, then tersedak. Karang tersembur pulak semua benda yang tengah duk dalam mulut.

Merana jugaklah sikit-sikit bila pergi beraya tapi tak dapat nak makan kuih raya secara berleluasa. Dahlah hujung minggu baru ni banyak rumah kitorang gi beraya+open house. Kat Puncak Alam saja ada 3 buah rumah. Keluar rumah pukul 10 pagi. Nak masuk Maghrib baru sampai di rumah. Tengok kuih tat rumah diorang sedap-sedap je tapi gua dapat pandang je.

Minggu lepas pergi spital. Sebelum tu pergi sarapan dulu. Masa order air tu, suara punyalah susah nak keluar sampai dua tiga kali kena ulang sebab yang tukang buat air tu tak dengar suara saya. Lepas sarapan terus ke spital. Masa letak kad temujanji tu, kerani kat situ ada tanya sesuatu. Saya cuba kuatkan suara sebab takut kerani tu tak dengar suara kepit saya tu. Sekali betul-betul kuat suara yang keluar. Sampai yang duk menunggu kat situ semua pandang saya. Malu oi....Dah tu duduk pulak sebelah makcik yang ramah-tamah. Tak berenti dia bercakap. Saya banyak angguk, dengar je dia cakap apa. Nak banyak-banyak cakap sangat pon tak boleh.

Start demam hari merdeka tu. Bangun pagi tu rasa lain macam je. Time ambik wudhuk untuk solat Subuh, rasa sejuk sangat sampai menggeletar bibir. Ambik wudhuk je pon, bukan mandi! Lepas tu terus berselimut. Pastu pergi klinik. Klinik kat rumah tu tak bukak pulak. Terpaksalah pergi panjat tangga Giant pergi ke klinik Mediviron kat dalam tu. Doktor bagi 4 jenis ubat.



Balik rumah terus makan ubat. Tak lama lepas tu, melingkup tido. Suami saya balik dari solat Jemahat tu baru saya bukak mata terjaga. Tu pun macam di awang-awangan je. Makan hari tu order ikut telefon je(pizza). Apa nak buat, tak mampu bertugas.

Lama pulak batuk kali ni. Ini pon tak baik-baik  lagi. Gatak tekak tak usah nak cerita. Rasa macam nak rodok garpu masuk mulut kasi garu.

Tuesday, June 19, 2012

2012-Cerita 100-Timun Cina?


Ada orang panggil tembikai.
Ada pulak setengahnya yang panggil semangka.
Ada jugak yang panggil timun Cina.
Ada tu panggil watermelon.

Cuaca panas-panas berjerebu begini enaknya kalau dapat menikmati tembikai sejuk.
Potong siap-siap, letak dalam peti sejuk.
Lepas tu kita ngap.
Leganya tak terkata kan??

Tuesday, May 15, 2012

2012-Cerita 81-Mereng!

Banyak betul benda yang tak selesai yang tengah difikirkan dalam kepala hotak ni. Bergentayangan sepanjang masa. Pasal anaklah, pasal itu pasal ini. Entah apa-apa. Sampai rasa kepala berat berserabut. Sampaikan tadi tersolat Subuh 2 kali. Masuk waktu dalam 5.45 tu dah solat sekali. Lepas hantar naqib naik van, masuk rumah. Kepala hotak duk rasa macam belum solat. Dah bagi salam baru perasan dah solat rupanya tadi.

Macam hapa-hapa je kan. Mereng je. Tambah pulak ada yang duk inbox tanya macam-macam pasal Naqib. Kadang-kadang tak tau nak jawab apa. Tu yang jawapan diberi kadang-kadang pendek je. Bukan nak menyombong tak nak menjawab ke apa. Setakat yang saya boleh jawab, saya jawab. Saya tak kesah dan sangat hargai keprihatinan diorang.  Tapi, kadang-kadang nak menjawab soalan tu pun dipengaruhi oleh perasaan.

Ada yang cakap "Kesian kat kau. Dahlah anak sorang je!"
Sedih sangat-sangat tau bilaa orang cakap macam ni. Terus rasa bad mood. Kalau boleh tak nak jumpa sesapa. Rasa macam nak duduk dalam gua. Kalau nak kesian, boleh tak cakap dalam hati je?

Ada tu yang tanya, "Betul ke anak kau sakit? Aku tengok kau ceria je".
Takkan mak tergamak nak buat cerita anak sakit pulak. Dah tu ko nak suruh aku duka nestapa sepanjang masa ke?

Saya faham dan hargai sangat-sangat ada yang menunjukkan simpati tapi kadang-kadang buat perasaan saya rasa lebih teruk. Benda tu akan sentiasa berlegar-legar dalam kepala. Tambah lagi sekarang ni Naqib dia dah mula sedar apa yang dia akan hadapi di masa akan datang. Bila pergi mana-mana, dia akan mula aware dengan persekitaran dan kemudahan yang disediakan. Hari tu dia cakap, "nanti kalau Naqib dah takleh jalan, Naqib boleh datang sini sebab sini ada kemudahan untuk OKU". Ko tak rasa sebak ke?

Kalau orang tanya macam tu patut ke tidak saya rasa nak marah atau bengang? Ke saya tak patut rasa apa-apa dan  menganggap itu adalah lumrah alam? Ke saya je yang terlebih react? Tak reti nak fikir dah. Rasanya kepala hotak saya ni dah terlebih berfikir. Nak kena buang benda-benda yang tak perlu!

Heh!

p/s: Sekarang saya dah faham dengan perasaan kawan saya yang anaknya sakit jantung berlubang. Baru faham kenapa dia tak nak orang tahu anak dia sakit.

Monday, April 30, 2012

2012-Cerita 75-Karma?



Ditangkap ketika menangkap.
Karma?
Tidak.......
Inilah kitaran hidup.

Friday, April 6, 2012

2012-Cerita 62-Malas vs Rajin

~Malehnya nak lipat. Ada setambun lagi tu.....~


Baju dan siap basuh. Dah jemur. Dah kering dan dah siap diangkat dari jemuran. Tapi mengapa malas beno nak melipatnya? Saya kadang-kala rajin, kadang-kala tak rajin tapi dek terpaksa, buatlah jugak. Takkan nak biarkan berlonggok tak berlipat kan?

Kalo rajin, memang segala benda pun dilipat. Kadang-kadang yang dah bersusun kat almari pun kubukak dan lipat balik. Tapi cuba kalau dah sampai masa tak rajin. Nak start melipat tu ibarat satu penderaan jiwa dan mental. Siksa. Menyampah.

Tertanya-tanya, kenapalah aku ni malas sangat nak lipat kain? Bila fikir-fikir, rasanya bukan sebab malas tau. Tapi sebab kita tak suka dengan pekerjaan itu. Faham-faham jelah bila kita tak suka dengan sesuatu benda tu mesti rasa berat je nak buat kan? Basuh, jemur tak apa. Tapi bila sampai bab lipat, sangat tak koser. Rupa-rupanya bukan saya sorang je yang begitu. Ramai jugak ya manusia yang mengadu dan bersungut tak suka keja-keja melipat ni. (Dah boleh buat grup ni kat fb). Ramai juga yang berharap akan ada orang cipta mesin lipat kain.  Huhu..

Satu hari, saya tengah angkat pakaian di jemuran. Tiba-tiba dapat idea. Aku lipat terus je lah kot baju-baju ni kat sini. So, saya pon angkat  dan terus lipat baju-baju la la tu jugak  kat ampaian. Tapi lipat takdelah sempurna mana macam kita lipat kain kat atas lantai(yang kita urut dan buat garis guna tangan sebelum setiap lipatan). Asal lipat tak nak bagi berkedut. Dah tu kata malas kan?

Eh. Rasa senang pulak buat macam tu. Sebab bila masuk rumah, takde dah nampak timbunan pakaian yang membukit. Kira pakaian yang kita angkat tu dah boleh terus masukkan dalam almari. Jimat masa kan? Ini cara-cara untuk yang tak ada 'makcik' la. Kalau ada makcik, jangan diajar buat begini. Nanti makcik naik lemak. Makcik gaji mahal sekarang tau!

So far, kalo rasa malas saya akan buat gitu. Kalau rajin, angkat macam biasa, lipat atas lantai cantik-cantik. Tapi bagi yang ada anak ramai, asingkan pakaian ikut anak. Pastu suruh diorang lipat sendiri. Ajar diorang berdikari dan bertanggungjawab. Jangan nak manja-manja sangat. Tak pon kalau dah malas sangat, gantung semua pakaian dengan hanger. Habis cerita. Tapi hanger mesti ada ratus ribu la. Kah....

Ok ke tak ok? At least kain baju berlipat dan tak berlonggok menyakitkan mata. Jangan nanti dah bertangguh (sebab terlampau malas nak lipat), baju makin menggunung, jadi macam ni ha...

Salah satu episod dalam rancangan Clean House.
*Kat ruang tamu baju bersepah-sepah. Kemalasan melipat punya pasal*

Ini pulak dalam bilik tidur. Gila bersepah. 


#Sapa-sapa yang ada cara lain, bolehlah kongsi-kongsi ye. Jangan kedekut. Nanti Allah marah!

Monday, March 5, 2012

2012-Cerita 44-Kopak!!

gRumah adalah berserakan ketika ini. Suami saya tengah set up opis dia kat bilik atas. Bilik itu bilik Naqib yang lama. Since Naqib pon dah tak guna bilik dia (sekarang tido kat tingkat bawah), suami saya tak nak biarkan kosong bilik tu. Kan ada pulak Kak Limah sewa bilik tu buat port dia. Kitorang pon sekarang tido kat bawah jugak. Takkan nak biarkan dia tido sengsorang kat bawah kan? So, bilik-bilik di atas hanya digunakan pada masa-masa tertentu sahaja.

Semalam pergi cari meja kerja. Tapi tak jumpa-jumpa. [Yang jumpa yang mahal-mahal. Bajet ciput]. Last-last beli meja lipat je. Yang jenis fomeka yang kita selalu tengok kat kedai-kedai makan cina tu. Tapi takde stok pulak. Uncle tu janji Insyaallah harini sampai. So, tungkus-lumus suami saya duk angkut barang dia semalam bawak naik atas. Sapu, mop bilik atas semua dia buat. Saya tolong tengok je. Tak nak campo. Hanya tolong apabila diminta, gitu kekdahnya.

Lapang sikit keadaan di bawah ni. Kalau tidak penuh dengan fail-fail dia, dengan meja desktop apa semua. Nampak sempit. Tapi memang sempit pon. Serabut mata, serabut jiwa. Dan, Alhamdulillah, Allah datangkan idea untuk buat opis kat atas tu.

Agenda hari ini adalah untuk mengemas balik tingkat bawah yang tunggang-langgang ini. Nak vakum, nak mop lantai. Nak susun balik perabot-perabot kat rumah ni. [Bunyinya macam banyak benau perabot kat rumah aku ni!] Tapi la ni apa pon tak start lagi. Baru je lepas sarapan. [Ingatkan nak puasa, tapi tak sempat nak masak-masak sebelum Subuh tadi. Naqib pona saya bekalkan roti goreng je tadi]. Ni pon tengah syok golek-golek atas tilam kekabu yang baru beli semalam.

Oh ya! Semalam adalah hari kopak suami saya agaknya. Kaw-kaw dia kena pau dengan kitorang berdua. kihkihkih...

Memang kitorang rancang nak shopping baju, seluar dan kasut Naqib yang dah makin mengecil. Maklumlah anak bujang saya tu dah makin membesar dan makin berisi. Baju seluar semua sendat. Tapi tau lah kan pakaian kanak-kanak ni lebih kurang je pon dengan harga pakaian orang dewasa. Baju kat pasar malam pon dah belas-belas ringgit sekarang. Dah tak main dah 9, 10 ringgit ni. Yang ada kualiti sikit pon dah mahal. Yang ada brand lagilah mahal. Kat pakaian Naqib je dah habis ratus-ratus.

Nak dijadikan cerita, masa tengah cari barang-barang naqib tu, sandal saya buat hal. Sikit lagi nak tercabut tapak. Pandai pulak buat perangai kat shopping complex kan? Dapatlah sepasang sandal baru semalam. Sedap pakai walaupun beli kat kedai kasut Bata je. [Ye. Je. Sebab ada orang tu kata pakai kasut Bata takde kelas. Tapi saya tak kesah. kasut cap Giant pon saya beli.]

Alas kaki yang baru. Style orang tua suami saya kata.
Ade aku kesah??? Janji selesa...

Kasut Naqib.


Dah tu mikirkan hari-hari suami saya kena angkut tilam (macam kes  Tivoli Villa pulak angkut-angkut tilam) dari atas ke bawah, macam kesian pulak. Tilam pulak tilam dreamland. Bukan boleh dilipat-lipat letak tepi dinding. Dan bukanlah ringan. Karang ada pulak body laki aku rupa Hulk Hogan. Maka, semalam kami mengambil keputusan untuk mendapatkan tilam yang boleh dilipat atau digulung untuk memudahkan penyimpanan dan penggunaan. So, tilam kekabu menjadi pilihan. Harga adalah RM250. Tak tebal tak nipislah. Kalau yang jenis toto nanti sakit badan sebab nipis sangat.

Harga nampak macam mahal tapi bila ingatkan kerja melibatkan kekabu yang renyah dan payah, rasanya harga itu sudah berpatutan. Dulu saya selalu tengok mak buat bantal guna isi kekabu. Time nak sumbat kekabu dalam sarung bantal tu nampak kerjanya leceh sangat. Dengan muka ditutup dengan kain sampai cuma nampak mata je kelip-kelip dua butir, mak kena buang dulu bijik-bijik kekabu tu. Kalau tak, nanti bila tido rasa berbuntil-buntil kalau tak dibuang bijik kekabu tu. Lepas tu pulak main dengan kekabu ni memang berselerak rumah. Kekabu kan ringan. kena tiup angin terus terbang. Satgi penuh rumah dengan kekabu. Sebab tu kalau kerja dengan kekabu ni tak buleh bukak kipas. Kena duk berpanas je la. Dan satu lagi, main dengan kekabu ni mata akan jadi gatal-gatal. Hidung pulak akan terbersin-bersin. Siksa jugaklah tengokkan.

Tilam kekabu yang dimaksudkan.

Lepas shopping, perut jadi lapar. Dah masuk tengahari pon. Suami  saya tanya Naqib, "nak makan kat mana?". Naqib angkat bahu tanda tak tahu. "Nak KFC ke?" tanya suami lagi.

"Oh! Tak nak! Tak nak! Naqib tengah jaga kesihatan ni!" Jawab Naqib. Tergelak kitorang dibuatnya.

Gitulah Naqib. Dia concern sangat dengan kesihatan sejak-sejak ada doktor datang bagi ceramah kesihatan kat sekolah dia minggu lepas. Dia rasa dia dah mula gemuk dan mula balik perangai sekat makanan yang dia makan dengan sendirinya sampai kitorang marah-marah kat dia. Dah dinasihat berkali-kali baru dia makan macam biasa. "Mak, Naqib ni dah obes ni tau!" Katanya. Celah mana obes lah ko ni anak oi...

Sebenarnya dari dulu lagi dia takut gemuk. Sebabnya ada seorang sepupu dia yang obesiti. So, dia tak nak jadi macam tu. Dia akan pandai-pandai sukat makanan-makanan yang diambil dan takut nak makan banyak. Sampai gitu sekali. Sebut dia gemuk sikit pon mula tak nak makan. Mula-mula ingatkan dia ni jenis makan memilih. Rupa-rupanya bila perati baru tahu itu sebab utamanya. Sebab tu dari dulu kurus je, tak naik-naik badan.

So makan di Secret Recipe. Naqib order Spaghetti Meatballs. His favourite dish! Tiap kali datang SR mesti mintak menu ni. Spaghettinya banyak. Saya pun order spageti jugak tapi makan separuh pun tak terhabis. Tapi dia. Habis sepinggan dia balun. Tak tinggal sisa. Selalu makan tak habis. Terpegun ku tengok dia makan. Takde pulak ko sibuk nak jaga kesihatan eh masa tu? Tapi bila tengok dia berselera makan gitu rasa suka pulak. Sebab kalau tidak, dia makan asal kuis-kuis je.

Dahaga pulok tengok air-air ni. 
seafood springrolls. sodap! kalo gi SR kitorang mesti order nih.

Banyakkan?

Dah nak habis. Meatball sebijik dia belum abiskan.
Duk sibuk sedut buih kat hot choc dia.
Pendek kata kopak duit laki mak semalam. Makin berubanlah rambut dia!

Tak percaya? Lihatlah sendiri!

Saya cakap dengan dia: Bang, rambut abang dah macam rupa bulu Tabby(kucing yang mak mertua bela).
Bengangsss je dia.

Tuesday, February 14, 2012

2012-Cerita 29-Saya Perlu Tabah

Bad news!

Semalam adalah hari temujanji Naqib dan doktor paediatrik. Dan kami mendapat berita buruk. Dari pemeriksaan, Naqib menghidap Muscular Dystrophy. Di mana otot-otot dia dari hari ke hari mengalami kemerosotan. Maknanya ototnya akan menjadi semakin lemah. Dan akhirnya......

Muscular Dystrophy adalah penyakit genetik. Tiada ubat setakat ini. Dan kami pada mulanya tertanya-tanya dari mana datangnya kerana kedua-duanya baik suami mahupun saya tak punya sejarah keluarga yang berpenyakit sebegini. Aah! lantaklah dari mana ia datang pun, bukanlah halnya lagi untuk saya memikirkan terlalu dalam akan persoalan siapa pembawanya. Sebelum ini saya ada membaca sedikit sebanyak tentang penyakit ini tapi tak menyangka ia benar-benar menjadi igauan buruk bagi saya sekarang. Tiada siapa menduga keadaannya menjadi sesulit ini. Allahuakbar.

*Sekarang ini darah telah diambil untuk dibuat pengesahan berkenaan penyakitnya. Bulan depan kami akan mula bertemu dengan pakar neuro dan pakar  jantung.

Jangan ditanya bagaimana kami menerima berita buruk ini. Pandangan seolah-olah gelap seketika. Suami saya bangun meninggalkan kami (saya dan Naqib) di dalam bilik doktor sebaik sahaja doktor memberikan perkhabaran buruk itu. Entah ke mana dia pergi menenangkan diri sedang saya berperang dalam diri cuba bersikap cool. Seboleh mungkin tak mahu menunjukkan kesedihan pada Naqib.

Jangka hayatnya mungkin tak lama, itu kata doktor. Ya. Itu kata doktor, tapi Allah yang menentukan segala-galanya. Jika Allah berkehendak dia baik, dan sihat seperti manusia normal kita tidak tahu. Tapi sebagai ibubapa, tipulah kalau tak rasa sedih dengan perkhabaran buruk begini. Memang sebak sehingga satu ketika saya tak mampu melihat ke wajah Naqib yang tenang, comel itu.

Sebaik sahaja selesai dengan sesi kaunseling bersama doktor, kami beredar pulang. Sepanjang di dalam kereta suami saya tak mampu menahan air matanya. Dan Naqib seperti biasa, tak berhenti bercakap dalam kereta. Dia akan selalu bertanya apa yang dia lihat di sepanjang perjalanan di dalam kereta. Dia yang akan menghafal jalan-jalan dan menjadi guider kepada ayah.  Melihatkan itu saya jadi sebak. Sepanjang hari saya menangis. Saya jadi teringat saat-saat saya memarahinya, membebelinya. Ya Allah! Serasa berdosa benar saya.

Bagaimana harus saya hadapi hari-hari mendatang? Saya tahu saya perlu tabah. Tapi buat masa ini saya masih lagi berharap ia hanyalah satu mimpi buruk. Tapi akhirnya saya perlu juga menerima kenyataan ini. Kedua-dua belah keluiarga sudah diberitahu akan keadaan Naqib.  Semuanya diberitahu oleh suami kerana hingga ke saat ini, saya belum mampu  untuk menuturkannya sendiri pada keluarga terutama emak saya. Saya tahu dialah orang yang paling sedih apabila mendapat berita ini.

Saranan dan cadangan telah dilontarkan oleh kedua-dua belah pihak keluarga. Kami akan cuba untuk berusaha merawat Naqib secara tradisional di samping sesi fisioterapi yang dianjurkan oleh pihak hospital. Buat masa ini biarlah dia bahagia dengan dunianya sementara dia masih boleh ke sana ke mari. Saya tahu semangatnya kuat! Kami akan cuba memberikan apa yang terbaik dan sepenuh kasih sayang padanya.  Kami akan menjaganya sebaik mungkin. Itu sahja yang mampu kami lakukan. Doa saya masih sama seperti hari-hari yang  lalu iaitu dengan harapan Allah menyembuhkan penyakitnya. Semoga Allah menghadirkan keajaiban-Nya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Penyembuh!
Semoga Allah memberi ketenangan dan kekuatan untuk kami menjalani hidup ini dengan sebaik mungkin demi Naqib.

Doakan saya dan suami tabah dan sihat selalu demi Naqib ya!


p/s: Saya dan suami masih lagi dalam proses menenangkan diri. Diharap pihak keluarga dan rakan-rakan dapat memahami keadaan kami. Buat masa ini saya hanya mampu menerima sms/email/mesej sahaja. Saya tahu anda sangat prihatin tapi fahamilah kami. Doakan kami. Terima kasih di atas segalanya.

.

Wednesday, February 8, 2012

2012-Cerita 26-Panas

Cuti-cuti 1Malaysia nan lalu adalah dirasakan seperti kesibukkan melampau. Macam keje di pejabat. Keluar pagi, balik dah petang rembang nak masuk Maghrib. Tu yang buat asal malam je tido awal. Pukul 8 pun dah rasa ngantuk sangat-sangat.

Pagi ni pulak pergi Banting. Sekerat hari di sana kerana menguruskan beberapa perkara di Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Kuala Langat. Hari ni pulak, Masyaallah, panasnya. Duduk kat dalam kereta pun rasa macam terbakar. Saya pulak adalah spesis manusia yang tak tahan dengan panas, mulalah menggelupur, loya, pening.

Dahlah tu on the way balik, dengan laparnya, dahaganya, dengan terpaksa redah kesesakan dengan lori-lori besar bersimpang-siurnya. Memang bad mood la. Pastu kat highway Kesas tiba-tiba kereta depan saya (kitorang di lane paling kanan) dengan drastiknya menukar lorong ke lorong tengah. Terkejut weh. Ingatkan apa hal. Rupa-rupanya pak polisi tengah menembak. Tak tahulah kereta saya kena tembak ke tak pasal masa tu kereta dibawa dengan laju juga. Huhuhu....*harus terbang RM300.

Dah tu pergi pos opis. Nak pos barang. Orang punyalah ramai. Sampai melimpah-limpah keluar. Yang menyakitkan hati, cuma 2 kaunter dibukak. Satu kaunter pelbagai, satu kaunter pengeposan. Dan yang menambahkan lagi kesakitan hati ini, hanya seorang sahaja yang bertugas! Amukan aku! Dah beratur panjang-panjang guwe terus keluar barisan. Panas hati. Terus pergi kaunter kurier kat area rumah je. Kurier cap kangaroo. *saya tak berapa percaya dengan servis kurier selain pos laju pasal ada kes saya hantar barang, barang tak sampai. Barang dihantar balik pada saya. Alasannya tak jumpa rumah seperti yang tertera pada alamat pengeposan. Kalau pos laju ni konfem mana ceruk pun diorang cover kan? Takde masalah nak cari rumah. Harap-harap barang yang dipos sampai dengan selamat ke tangan penerima ya kangaroo.

Siap berurusan dengan servis kurier tu, singgah kedai untuk makan tengahari. Kebulur tu takdelah. Tapi dahaga sampai nak menelan tu rasa macam ada benda tersekat kat kerongkong. Kekeringan. Milo ais sampai je terus guwe srot-srot tak ingat dunia. Syurganya rasa.....Tapi lepas tu kepalaku berdenyut-denyut. Kesan pertembungan panas-sejuk yang mendadak.

Sampai rumah, cabut tudung, terus guwe melingkup sedas. Dah dapat melingkup tu, bila terjaga barulah rasa lega. Tiada lagi amukan.
*melingkup=tido

Sekian cerita saya pada hari ini. Terima kasih.

Thursday, February 2, 2012

2012-Cerita 24-Cikgu Bidan Terjun

Guwe sekarang dah jadi cikgu. Cikgu tuisyen untuk Naqib. Kalau dulu bila musim Naqib  periksa baru hegeh-hegeh nak ngajor. Tapi sekarang tiap-tiap malam. So sekarang, tiap-tiap hari kena prepare subjek apa untuk diajar malam-malam. Terpaksa guwe buat ulangkaji balik. Maklumlah dah lama tinggal sekolah. Buleh tahan mencabar jugak silibus budak-budak ni ye. Sains diorang setengahnya macam silibus zaman kita SRP dulu. Tak apalah. Anak punya pasal.

Whiteboard sekangkang kera iols...


Mesti orang tanya, kenapa tak hantar ke kelas tuisyen je. Mesti lagi berkesan pasal yang mengajarnya memang cikgu betul kan? Memanglah kalau boleh nak ngantor ke kelas tuisyen tapi sekarang ni keadaan kurang mengizinkan. Kesian dengan Naqib sebab dia selalu merungut penat. Yelah, sekarang ni dia kena buat eksesais untuk kaki dia tu. Petang-petang lepas balik sekolah dia akan naik basikal eksesais selama 20 minit untuk satu sesi. Kena buat banyak sesi. Untuk kuatkan otot dia. Tu yang dia cepat penat sekarang.

Kayuh Naqib kayuh!
*sila abaikan baju-baju atas tangga tu ye. 


Dah tu, sejak akhir-akhir ni dia jadi kurang fokus. Doktor kata tu memang salah satu daripada simptom penyakit dia tu lah. Disebabkan oleh faktor-faktor yang disebutkan tadi, kitorang laki bini fikir tak payahlah ngantar tuisyen sebab takut dia tak boleh nak catch up. Cikgu tuisyen pun bukan boleh bagi sepenuh tumpuan pada dia. Ramai lagi budak-budak lain kan? Pernahlah jugak cari cikgu tuisyen persendirian yang boleh datang ke rumah, tapi feenya adalah  mahal. Macam tak berbaloi pulak.

Last resort, kitorang pakat ngajor sendiri la. Daripada tak dapat ilmu langsung, dapat sikit-sikit pun jadilah. Senang nak fokuskan kat subjek mana yang dia kurang faham. At least masa adalah fleksibel. Kalo dia rasa penat sangat so boleh take a break, ataupun boleh anjak masa. Kalau ngantor tuisyen buleh ke buat gitu?

Apa-apapun, sentiasa mengharapkan yang terbaik, dan bersedia dengan segala kemungkinan. Kalau dari range 1 sampai 10, dia buleh buat sampai 5 je, takpelah. Tak nak paksa-paksa. Kalau paksa pon, dia tak buleh, tak guna juga. Fokusnya adalah untuk pastikan dia ada bekalan  ilmu asas dan boleh berdikari di masa depan dan yang penting jadi MANUSIA!

p/s: kata doktor, jnagan paksa anak untuk jadi seperti yang kita harapkan. Kalau anak tak cemerlang dalam pelajaran, bina satu laluan untuk dia cemerlang dalam apa yang dia minati. Contohnya kalau dia minat nak masak, boleh masukkan dia ke akademi memasak, kalau dia minat bola, hantar dia ke akademi bola. Insyaallah masa depannya terjamin.  Sesetengah ibubapa terlalu berharap anak untuk jadi doktor, jurutera sedangkan itu bukan minat sebenar anak-anak. Jangan sampai anak memberontak dan beranggapan hidup ini adalah menyusahkan(life's sucks!).
.

Tuesday, January 24, 2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Catatan Seorang Siti 2011. Powered by Blogger.