Ombak tak akan berhenti menghempas pantai selagi ada angin yang tak pernah berhenti menghembus.

Tuesday, September 9, 2014

2014-Balik Kampung

Setahun kot tak balik kampung halaman. Bukan sebab tak nak balik tapi banyak agenda yang tak dapat nak dielakkan. Ni aku bagitahu awal-awal ye pasal ramai sangat duk tanya mak aku apa pasal aku lama sangat tak balik kampung. Bukan tak nak balik. Nak sangat. Tapi banyak halangannya. Aku ni anak sakit maka terikat dengan epoimen spital. Ni pun aku mintak coti 2 minggu dengan pihak sekolah untuk bawak Naqib balik kampung sebab ni je masa anak aku free tanpa urusan spital.

Tujuannya balik kampung sebab nak bawak Naqib berubat. Secara kebetulan ayah aku diperkenalkan dengan sorang pakar bidang refleksologi yang dah banyak pulihkan pesakit strok, lumpuh dan penyakit yang berkenaan dengan otot dan saraf. So, ayah kata apa salah mencuba sebagai salah satu ikhtiar perawatan. Mungkin ilmu yang dia ada boleh membantu merawat penyakit Naqib.

Maka, bermulalah sesi balik kampung secara mengejut. Suamiku cuma hantar dan kemudian balik semula sebab tak boleh cuti panjang. Lama tak berpisah, rasa macam nak lari balik jumpa laki. Dah seminggu tak jumpa. Dan untuk menambahkan lagi derita kerinduan ini, hari ini adalah hari ulangtahun perkahwinan ke-15 kitorang. Sorang di timur, sorang di barat. Gila sedeh.

Terjaga jam 3 pagi tadi, terus wasap dia. Wish dia. Sikit punya dramatik ayat aku bagi. Sambil taip sambil bercucuran airmata. Sendiri reka ayat, sendiri sedeh. Dah hantar, aku baca balik. Rasa macam kelakar. Macam bongok. Sekejap nangis, sekejap gelak. Pagi tadi jam 8 baru terima balasan. Eh dia pun tak nak kalah karang ayat. Nangis jugak aku lagi sekali baca ucapan dia. Tapi cepat-cepat sedar. Ni kat kampung ni. Kalau sambung nangis, bengkak mata. Nanti mak ayah tertanya-tanya pulak apa jadah anak dia nangis. Malu..

Lepas tu entah berapa kali suami call. Asik duk tanya, "Kat mana ni? Dalam bilik ke?" Dah tu kalau dalam bilik kenapa ye? Nak diapakan? Sesuatu sungguh(hahaha). Ntah pape.

Hujung minggu ni suami akan datang ambik kitorang. Dan-dan je aku rasa lambat pulak masa berjalan!

Dah lama sangat tak balik. Mak hari-hari duk jamu makanan yang spesel-spesel. Sampai adik aku cakap, "mentang-mentang anak pompuan dia balik, macam-macam aktivitinya!" Huhu..jeleslah tu! Ayah pun sama. Aku sebut je rasa nak makan itu ini, terus esok paginya dah ada atas meja. Dia belikan masa balik dari masjid. Tak ke syurga tu. Mau naik 2,3kg ni.

Jumaat ni pulak dah buat pakatan dengan kamceng-kamceng zaman sekolah nak jumpa. Tapi disebabkan kesukaran untuk aku keluar berpeleseran maka diorang yang akan datang jumpa aku di rumah. Ta zabarnya nak jumpa.........

Friday, July 18, 2014

2014- Sepi

Allahuakbar..lama betul tinggalkan blog ni sepi. Tak tau nak cerita apa dah campur dengan malas yang menggunung.

Sebenarnya banyak perkara terjadi tapi dasar pemalas. Asal nak menaip je idea terbang, mood melayang, ilham tak datang-datang.

Banyak alasan kan bila dah malas?

Ok. Nak kena perasap sikit blog ni bagi naik semangat nak menulis. Kiranya kalau entry lepas-lepas ni sendu dan malap jugak, ketahuilah sesungguhnya sumbu pelitanya sudah ditiup mati. Angin kuat sangat! Hahahaha

Wednesday, April 16, 2014

2014-Kek Bidan Terjun

Terpaksa rajinkan diri membakar kek span gara-gara terjumpa sekotak fresh cream yang hampir sampai tempoh kojolnya dalam freezer. Kakak dah hampir lupa akan kehadiran fresh cream itu. Entah bila masa beli tak tau. Jumpa duk terselit celah bungkusan kulit popia.

Resipi asal kek span vanila tapi biasa la kakak suka buat lencongan. Kakak tukar ke perisa strawberi. Bosan jugak asik vanila je. Lagipun manusia-manusia kat rumah kakak ni memang tak suka vanila. Kalau buat kek vanila lambat je habis.

Alhamdulillah, kek ni menjadi elok je. Lembuit dan sekata. Bila ditekan macam spring. Menganjal. Resipinya ambik dari blog che mat gebu.

Keje suami kakak. Potong kek pakai chopper. Orang lelaki ni belasah asal boleh je kan?

Friday, March 14, 2014

2014-Air Kena Catu Hoi!

Rumah akak terlibat dengan catuan air. Start 4 April itu hari. Nak kata seksa tidaklah seksa. Sebab rumah akak sentiasa ada air. Tinggal bertiga saja kan. Air tangki memang cukup untuk 2hari stengah. So akak adalah eksyen. Simpan air dalam tong kecik je.

Kebetulan sepupu akak nikah hari Sabtu tu. Jadi mak ayah akak walau tak sihat sangat datang jugak ke KL untuk meraikan pengantin. Diorang datang hari Jumaat lagi tapi diorang duk kat rumah adik akak dulu. Ahad tu baru diorang datang rumah akak.

Kebetulan pulak (banyaknya kebetulan), maid makcik akak yang tiba dari kampung dia di Kemboja pun menumpang di rumah akak sebab dia nak balik ke Terengganu sama-sama dengan makayah akak. Dia pulak bawak kakak dia yang nak kerja di Malaysia jugak. Maka ramailah manusia kat rumah kakak ni.

Ayah akak dah suruh akak takung air bebanyak. Tapi akak eksyen walberlagak. Buat tak tau je. Sebab akak yakin air tangki adalah cukup. Selasa pagi, dah mula balik catuan air. Aktiviti harian seperti memasak, membasuh pinggan berjalan seperti biasa tapi dengan penggunaan air yang sangat jimat. Malamnya mak ayah akak dengan maid Kemboja tu pun berangkat pulang ke kampung. Sekali kan, esok paginya air tangki habis! Tinggal yang dalam tong kecik je. Barulah terkulat-kulat.

Tu lah kan, berlagak sangat. Baru padan dengan muka akak. Nasib baik suami akak tergerak hati nak  simpan air dalam tong besar kat bilik air di tingkat atas. Kalau tidak beristinjak bertayammumlah kitorang 3 beranak sementara nak tungu air disalurkan balik!

Wednesday, March 12, 2014

2014-Update

Pergh..nak dekat sebulan dah tak update blog. Malas habis-habisan pasal dah potong internet kat rumah. Nak harap update via phone ni pun malas. Dahlah kecik. Nak perabis menulis ni rasa terbuntang-buntang bijik mata. Putus selera nak update.

Sebenarnya ada permintaan dari seseorang yang mintak aku buat tutorial jahit scallop. Tapi disebabkan aku ni guna handphone je bila masukkan gambo, layoutnya lari-lari. Jadi buat masa ni aku tak dapat nak masukkan tutorial tu dulu ya.

Facebook, twitter pun aku dah tak berapa jenguk sangat. Applicationnya pun aku dah uninstall. Banyak sangat guna data. Asyik penuh je. Henpon ni duk hang sokmo. So, la ni memang lambat sikitlah aku terima apa-apa berita. Kawan-kawan, sedara-mara janganlah marah kalau aku tak berapa nak up-to-date sangat berita pasal korang ya.

Apa-apapun, selamat datang ke dunia yang penuh pancaroba buat baby Ahmad yang baru semalam melihat dunia. Ahmad ni anak kepada blogger Niha, sepupuku. Semoga menjadi anak yang soleh dan membahagiakan ayah dan ibu.

Begitu juga buat sepupuku blogger Azrul Hisham yang dah selamat menjadi bapa kepada seorang puteri seminggu yang lalu.

Ada lagi. Buat 2 orang lagi sepupuku Fatihah dan Effa yang juga dah jadi mama.

Bertambah-tambah umat Nabi Muhammad. Alhamdulillah.

Tuesday, February 18, 2014

2014-Lagu Apa?

Aku. Bukan bangsa yang dengar radio sangat. Dengar pun cuma bila memandu sebagai halwa telinga dan juga penyendal kesunyian. Tapi biasanya, lagunya adalah lagu yang sama dan selalu berulang-ulang. Kalau sedap dan lirik bagus tidaklah mengapa. Aku tak kisah. Tu lagu Penglipurlara by Hazama tu. Lagu Hafiz juga. Lirik dia bagus. Lagu yang ada kualiti. Sedap je telinga aku dengar.

Tapi ada jugak yang tak best. Yang tahap ketidakbestannya cukup untuk buat aku tutup radio bila lagunya berkumandang. Yang peliknya, lagu yang aku menyampah tu lah yang keluar radio hari-hari. Siapalah yang minat lagu poyo tahap lagu rhyme kat tadika gitu? Puii..

Maaf ye akak merempan pulak pagi-pagi ni. Eh dah masuk tengahari rupanya.

Ps: tak nak sebut lagu apa sebab takut penyanyi dan peminatnya kecik hati. Tapi yang kelakarnya penyanyinya itu entah macam mana dia boleh tersesat, dia jadi follower aku di twitter. Siapa yang artis sebenarnya ni? Kuakuakua..

Tuesday, February 11, 2014

2014-Bisnes Atas Angin

Pagi semalam aku ziarah jiran aku yang baru bersalin. Sebelum tu aku call dia la tanya dia free ke tak. Mana tau kan, dia nak bertungku ke, nak berehat ke. Dia cakap dia tengah free. So, aku pun bersiap-siap. Tapi masa nak keluar tu aku tengok misi baru datang nak check dia dan baby. Aku pun masuk rumah dulu tunggu misi blah dulu.

Bila misi dah blah baru aku pegi rumah dia. Baru je duduk, salam dengan mak dan mak mertua dia,  tukang urut pulak datang. Maka, berurutlah jiran aku ni. Yang aku kesiannya, tukang urut tu urut jiran aku kat ruang tamu. Depan-depan aku. Tak fikir privacy langsung. Jiran aku memang nak berurut dalam bilik tapi tukang urut tu tak nak. Sengal betul.

Yang aku ni dah serba salah. Nak balik pun maknya hidangkan keropok dan air. Maka terpaksa hadap mata ke tv. Takkan nak pandang orang berurut. Sambil tu layan maknya berborak. Kebetulan anak tukang urut tu pun ada sekali. Dia tanya aku tak keje ke? Aku cakaplah tak keje. Surirumah. Bila dia dengar aku ni surirumah terus dia ajak aku join bisnes. Aku tanya dia bisnes apa? Katanya, bisnes ni tak payah cari orang, tak payah menjual barang. Cuma pakai untuk diri sendiri. Apa kejadah bisnes kalau tak menjual barang? Dan macam mana nak dapat untung? Aku tanya dia lagi, produk apa? Dia cakap produk kesihatan. Dah established lebih 20 tahun. Ramai pesakit yang dah pulih. Ramai dah doktor, pensyarah, jurutera berhenti kerja masuk bisnes ni. Lumayan. Sebulan pendapatan boleh cecah RM60k, katanya. Tapi bila aku berkali-kali tanya syarikat apa, jenama produk apa, sampai sudah dia tak jawab!

Kata dah established. Kata ramai yang dah pulih. Patutnya kau rasa bangga dengan produk itu sebab mampu sembuhkan pelbagai penyakit. Tapi kenapa susah sangat nak beritahu jenama produknya? Lepas tu dia mintak nombor telefon tapi aku buat tak tahu je.

Maaflah. Memang aku agak skeptikal dengan bisnes yang tak tahu hujung pangkal ni. Macam mana aku nak join kalau penerangan mengenai produk itu sendiri pun  gagal dan tak jelas? Pelik. Apa jenis bisnes pun tak tahu. Nak bisnes buat cara nak bisnes. Jangan main sesah je tak tahu ke hala. Kena ingat jugak pendapatan dari hasil yang tak pasti halal haramnya itu akan disumbat masuk ke mulut perut   keluarga dan akhirnya menjadi darah daging pula.

Pastu bila aku tak layan dia, dia pi cerita produk dia kat mak mertua jiran aku pulak. Makcik tu dengar je. Kelentong orang tua bolehlah. Sebelum dia mintak nombor telefon aku lagi sekali, baik aku cabut. Masa tu pun dah pukul 12.30 tengahari. So, aku mintak diri dulu dari jiran aku tu dan blah. Heh!

Saturday, February 1, 2014

2014-Keterujaan Baru

Bulan lepas pegi shopping barang dapo kat Mydin Mall. Lalu kat bahagian periuk-periuk dan perkakasan dapo tu aku nampak pan berlubang yang orang buat takoyaki tu. Tapi suamiku dah kat depan laju menonong je tolak troli. Nak panggil dia tapi takut nanti dia marah aku sebab nak beli barang yang bukan-bukan. So sambil lalu je aku pandang pan tu dengan pandangan sayu.

Balik rumah macam teringat-ingat dengan pan itu. Memang dah lama mencari tapi tak pernah jumpa. Dalam hati aku pasang tekad dah. Sekali lagi aku pergi sana aku mesti beli. Kebetulan semalam suami aku ajak pergi sebab dia nak beli barang sikit. Wah! Berbunga-bunga hati ini. Sampai kat sana, suami aku pergi cari barang dia. Aku dengan Naqib terus tuju ke tempat perkakas dapo. Tengok pan tu ada lagi. Tengok dekat, kat kotak tu tulis pan tu untuk buat paniyaram ball. Apa kejadah pulaklah paniyaram ball ni kan. Belek-belek tengok made in India. Makanan diorang la ni.

Tapi rasa boleh je buat takoyaki guna pan ni. Kataku dalam hati. Punyalah nak ke benda tu kan.. So bila suami datang terus tunjuk kat dia benda alah itu. Mula-mula dia cakap, "Macam mahal je..". Aku buat kelip-kelip mata sambil berkata, "nanti dah tak payah beli dah. Buat sendiri je". Dalam tak pasti nak beli ke tak, lepas belek-belek dia bubuh dalam troli. Yes! Berjaya jugak akhirnya aku yakinkan dia untuk beli.

Balik rumah terus cari resipi. Teringat kawan pernah buat so mintak resipi dengan dia. Petang semalam percubaan pertama guna resipi kawan tu. Tapi aku tak berapa nak puas hati. Cara buat dia tu macam buat lempeng bawang je. Rasa pun lebih kurang je. Tambah pulak aku takde bonito flakes dengan seaweed yang ditabur kat atasnya tu. Tak sampai rasa dia tu. Lepas tu cari resipi kat internet pulak. Petang tadi percubaan kedua, menjadi. Ada dah rasa dia cuma tinggal bonito flakes dan seaweed je takde. Tapi suami aku cakap dah ok dah sebab dia memang tak suka benda-benda tu.

Dalamnya letak udang sebab takde sotong. Atasnya dipicitkan mayonis, sos cili dan sos lada hitam. Sesuka hati aku derhaka resipi. Tapi, yang penting--> Puas hati! Sebelum ni beli sikit tak cukup. Nak beli banyak faham-faham jelah benda mahal. Sekarang dah boleh buat sendiri. Dah tak payah makan berebut-rebut lagi.

Thursday, January 30, 2014

2014-Bila Cuti

Hari ni budak-budak dah mula cuti sekolah sempena CNY. Pagi tadi, lepas solat subuh, Naqib dah tanya hari ni nak sarapan apa. Tension pulak mak. Apa nak dimasak la ye.. Dalam freezer tu macam-macam frozen food ada. Aku sengaja buat banyak dan frozen kan. Senang nak bekalkan Naqib ke sekolah. Pagi-pagi aku cuma panaskan atau gorengkan saja.

Tapi disebabkan benda tu benda yang sama dia makan berulang-ulang tiap pagi, Naqib beria tak nak sarap dengan makanan yang ada dalam freezer tu. Adoi..pagi-pagi ni dahlah aku malas nak masak. Maka, aku masakkan je bubur nasik. Senang. Tumis bawang putih bawang merah. Masuk air masuk beras masuk garam. Tunggu sampai masak. Kebetulan ada kangkung goreng belacan belen lauk semalam. Pastu goreng ikan masin. Eh! Jadi meriahlah pulok bubur nasik itu.

Dalam bubur tu aku ada letak sikit cendawan tiram. Dapat dari jiran belakang rumah. Dia ada ladang cendawan kat Johor. Dia petik dan terus jual. Sepeket 200g dia jual rm2.50. Memang segar. Bahagia jugak tinggal kat perumahan aku ni (walaupun ada banyak isu berbangkit). Nak beli apa-apa cuma perlu mesejkan saja. Nanti orangnya datang hantar ke rumah.

Wednesday, January 29, 2014

2014-Oppss! They Did It Again

Minggu lepas (hari Selasa) mak aku call, dia bagitahu ada hantar barang. Aku tunggu sampai Jumaat tapi parcel tu tak sampai-sampai. So aku call ayah, tanya dia guna khidmat courier mana untuk hantar parcel tu. Sekali ayah cakap guna Kangaroo. What? Sebelum ni aku pernah cerita tentang pengalaman pahit aku dengan syarikat perkhidmatan kurier cap Kangaroo ni kan. Hari tu beria ayah kata dah tak mau guna khidmat depa lagi. Tapi ayah kata sebab opis depa dekat. Ayah malas nak gi pos opis sebab jauh. Kena gi masuk bando. Jadi nak tak nak ayah guna la jugak khidmat depa.

Ni dah lebih seminggu. Tak sampai-sampai jugak. Semalam aku call mak mintak dia carikan consignment note. Ada benda tu bolehlah aku gegar opis depa. Tapi kebetulan mak aku kat hospital cek mata pulak. Ayah pulak takde gi Filipina. Terbantut la. Maka hari ni usaha lagi.

Depa ni macam mana buat keje ek? Bayar sama gak dengan kurier lain tapi kurier lain tu elok je sampai lepas sehari dua. Buang masa betul duk tunggu depa. Nak keluar memana pun susah. Depa nak bisnes ke tak nak ni? Tak profesional sungguh!

Monday, January 27, 2014

2014-Prihatin

Hari Sabtu, macam biasa bawak Naqib ke klinik untuk rawatan. Masa sampai ke klinik, orang ramai pulak. Kebetulan pulak Naqib sekarang ni kaki dia tak berapa kuat. Celah kangkang dia sakit. Kejang. Bila nak berjalan jadi susah nak melangkah. Nak jimat masa, suami aku kendong je dia.

Then, doktor panggil. Doktor bawak ke bilik urut. Doktor urut(urut saraf) satu badan. Sampai kat celah kelangkang tu Naqib dah nangis-nangis menjerit sebab sakit. Doktor nak urut dia tak bagi. So doktor suruh kitorang balik nanti urut sendiri. Doktor adalah ajar cara urutnya tu. Alhamdulillah dapat ilmu baru.

Keluar dari bilik rawatan, sementara nak bayar bil rawatan, aku duduk kat kerusi kat lobi klinik tu. Tak lama, makcik yang duduk depan aku datang duduk sebelah aku. Dia tanya Naqib sakit apa. Aku pun cerita la sikit-sikit. Dia tanya Naqib ada ikut fisio tak? Aku cakap ada. Kemudian dia cerita tentang suami dia yang sakit. Tengah-tengah bercakap, doktor datang dan panggil aku dan suami. Nak bincang tentang rawatan Naqib. So, cerita dengan makcik tu tak habis. Lepas jumpa doktor tu aku terus terlupa pasal makcik tu, terus bawak Naqib masuk kereta. Aku tunggu dalam kereta sementara suami aku pi tunggu ubat kat dalam klinik.

Masa menunggu tu la tiba-tiba makcik tu datang kat kereta kitorang. Dia sambung cerita balik sambil beri kata-kata semangat dan perangsang untuk kami usaha ubatkan Naqib. Terkesan jugak aku dengan kata-kata makcik tu. Hala-hala sebak dada. Sekali dia hulur duit kat Naqib. Terkejut aku. So, aku cakap aku tak nak terima. Tapi dia cakap, "Takpe. Makcik dah niat nak bagi. Anggap ni sokongan untuk awak,". Terus gugur airmata aku. Terus aku ucap terima kasih dan salam makcik tu. Nak peluk tapi tiba-tiba rasa awkward pulok. Entah macam mana entah. Dah tergamam tu terus jadi tak tau nak react.

Kata makcik tu, "Jangan putus asa!" Dia tepuk bahu dan berlalu. Airmata aku duk berjurai-jurai lagi. Makin diseka makin deras pulak. Dari jauh aku nampak suami aku keluar dari klinik. Cepat-cepat aku lap airmata. Tak mau dia tahu aku nangis!

Memang something la makcik ni.  Orang yang kita tak kenal batang hidung, yang takde kena-mengena dengan kita tiba-tiba memberi semangat untuk kita. Seolah-olah dia sangat prihatin dengan kesusahan kita. Tak ramai macam dia. A very kind hearted makcik.

Saturday, January 18, 2014

2014-Seliuh

Tangan kiriku terseliuh di pergelangan tangan. Ceritanya begini. Pagi semalam sarapan kat luar. Biasalah. Cuti kan. Aku pun cuti masak gaklah. Haha.. Lepas sarapan, sorong wheelchair Naqib. Masa nak masukkan dia ke kereta tu lah tangan terpulas macam mana ntah, tiba-tiba terus sakit.

Nasib baiklah suami pandai mengurut. Semalam dia urutkan. Sakit la. Rasa macam nak terajang orang. Berjurai-jurai airmata. Dia boleh gelak tengok aku mengongoi kesakitan, bukannya nak urut pelan-pelan. Lepas tu macam bengkak sikit la. Sentuh sikit pun sakit.

Minyak urut dari biji bunga matahari. Best guna minyak ni sebab wangi.

Pagi tadi pun masih sakit. Rasa berdenyut-denyut. Duk pikir macam mana nak masak dengan sebelah tangan je ni? Naqib dah bising kelaparan. Nak tak nak kena la masak. Masak mi goreng. Masak secincai yang mungkin. Kebetulan ada sambal belacan, belasah je bubuh. Takde dah nak potong-potong bawang tumis. Kalau letak ayam mesti best tapi kesukaran memotong, memadai letak fishball. Taruk kicap, sos tiram, sos cili. Cincang kobis. Pastu tabur daun bawang belen buat mi kari hari tu. Akhirnya jadilah jugak mi goreng tapi hala-hala tak cukup sifat. Janji perut konyang.

Alhamdulillah sekarang ni dah ok. Bahagian pergelangan tangan tu bila sentuh dah tak berapa sakit. Suami dah bagi warning, jangan gigih sangat nak guna tangan kiri tu. Bagi rehat 2,3 hari. Baiklah. Mari kita gantung kuali!

Monday, January 6, 2014

2014-Vegetarianlah Sangat

Ada setengah botol peanut butter kat rumah ni. Dah nak sampai tarikh luput. Takde siapa yang berminat. Nak buang sayang. Dulu pernah terjumpa resipi buat burger dari peanut butter. Teringin nak buat tapi bila cari dah tak jumpa. Tapi macam ingat-ingat sikit bahan-bahannya, maka aku go on je lah.

Ikut dan je aku masukkan bahannya. Apa yang ada kat rumah aku bantai masuk. Ni burger ala-ala veggie burger la. Aku masukkan:

1 labu bawang-cincang kasar

1 ulas bawang putih-cincang halus

1 cawan lobak merah-parut

1 cawan timun-parut dan perah airnya

1 sudu teh serbuk jintan putih

1 sudu teh serbuk ketumbar

2 sudu besar peanut butter

2 sudu besar daun ketumbar-dicincang halus

1/2 cawan serbuk roti

1 biji telur-pukul sedikit

Garam gula secukup rasa

Minyak untuk menumis

1. Mula-mula tumis dulu bawang putih bawang besar sampai layu dan kekuningan. Kemudian masukkan lobak merah dan timun parut. Tumis sampai lembut.

2. Masukkan bahan-bahan lain kecuali serbuk roti dan telur. Gaul sebati. Tutup api. Ketepikan dan sejukkan.

3. Kemudian barulah dimasukkan serbuk roti dan telur. Gaul hingga sebati.

4. Bahagikan kepada 4 bahagian. Bentukkan dan bolehlah digoreng seperti menggoreng daging burger biasa.

5. Sekarang sediakan roti. Macam aku, aku suka roti garing, so grillkan sekejap. Sapukan mayonis kalau suka. Letakkan lettuce, tomato. Sos cili jangan lupa. Aku letak cheese sekeping. Hehe.. Dah tak berapa nak vegetarian dah. Tapi rasa dia sedap!

Silalah mencuba!

Saturday, January 4, 2014

2014-Sambut Ala Kadar

Masuk tahun baru dah tentu-tentunya kena sambut hari memperingati kelahiran Naqib. Tahun ni tahun ke 13. Sambut ala kadar saja. Beli kek, goreng bihun, makaroni bakar dan ajak makcik pakciknya datang. Sambut semata-mata untuk meraikan. Kesian dengan dia. Hari sebelumnya dia ada bertanya nak beli ke nak buat sendiri kek birthdaynya. Tak sampai hati nak buat tak tahu je. Pagi-pagi buta dah serbu kedai kek. Nasib baik kedai dah bukak. Beli kek tema bola. Bungkus dan bawak balik. Pergh teruja tengok orang kedai tu bungkus kek. Expert gila. Kali ni beli kat kedai kek biasa area rumah. Tak kuasa nak keluar beli kat Secret Recipe ke apa. Alhamdulillah. Kek yang dibeli tak mengecewakan. Lembut je keknya. Harga pun mampu milik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Catatan Seorang Siti 2011. Powered by Blogger.