Ombak tak akan berhenti menghempas pantai selagi ada angin yang tak pernah berhenti menghembus.

Monday, December 30, 2013

2013-Cuti Dah Nak Habis

Musim cuti sekolah dah nak berakhir. Khamis ni dah mula musim persekolahan yang baru. Emm..macam tak bersedia je. Itulah kesannya bila dah sedap-sedap cuti dari sesak jebak pagi hari.

Hari ini baru pegi beli buku di sekolah. Hari ni jugak baru nak beli baju, kasut dan kelengkapan sekolah yang lain. Sebelum ni aku ingat tak payahlah beli pakaian sekolah. Pakai je apa yang ada. Nak menyimpan duit punya pasal! Namun, Alhamdulillah, Allah masih cukupkan rezeki buat kami.

Sepanjang cuti sekolah ni memang tak ke mana. Habiskan masa di rumah dengan memasak! Roti boleh kata uli hari-hari. Mesin uli pulak rosak. Merasalah uli pakai tangan. Tangan i jadi katang sebelah! Haha..

Sebahagian daripada roti yang diuli. Walaupun tidaklah sesedap dan segebu roti komersil yang dijual di kedai, sekurang-kurangnya tidaklah terdedah kepada 21 jenis bahan kimia yang tersembunyi dalam sebuku roti!

Tuesday, December 17, 2013

2013-Apa Cita? [ikut gaya Ropi]

Sendunya blog ini. Dah macam tak ada cerita je. Ada tu ada tapi tuan tanah tengah takde mood nak ngomel-ngomel.

Hari ni ada orang tu rajin buat aiskrim. Pagi-pagi tadi duk dengar bunyi keting-keting kat dapo. Tengah godek air nak buat aiskrim katanya. Ala..aiskrim malaysia yang dalam plastik panjang tu lah. Kan dia takleh makan aiskrim yang campo susu segala tu kan. Jadi pepandailah buat sendiri. Tadi dapat 6 batang je. Jadilah tu..

Petang ni lepas zohor nak kena gi spital lagi. Untuk physio session. Boleh tahan sangap nunggu dia fisio. Tapi macam happy sikit pasal sekarang dia dah boleh angkat punggung sendiri dah. Dah tak payah nak support kat bawah. Kalau tak, time fisio bila cikgu suruh buat dia nangis-nangis sebab tak boleh nak buat. Sekarang ni pun kitorang sewa mesin kat klinik tempat Naqib buat rawatan tu. RM500 sebulan (tak campo kos ubat-ubatan dan rawatan). Buat sendiri kat rumah. So tiap-tiap malam sebelum tido pasangkan mesin tu sampai pagh. Alhamdulillah. Ada juga nampak perubahannya walaupun kecil. At least buat masa ni tak payah travel tiap minggu. Jumpa doktor 2 kali je sebulan.

So rutin sekarang, tiap-tiap malam ambik sample darah, rambut dan air liur dia untuk diletakkan pada mesin tu. Tiap-tiap malam boleh feeling jadi nurse ok! Tapi selalunya ayah dia yang handle. Biar la. Dia pun nak rasa jadi doktor cucuk-cucuk kan..

Cuti sekolah ni memang tak pergi memana. Duduk rumah sesaja. Orang kat kampung duk sibuk tanya balik kampung ke tak. Sedih je rasa. Bukan tak nak balik, tapi banyak kekangan. Plus Naqib takleh travel lelama.

Ada sekali aku dengar ayahnya duk nasihat kat dia. Dia kan pemalas nak buat exercise. Kata ayahnya, "buatlah exercise. Nanti kalau dah baik, ayah bawak pergi Legoland". Sedih je aku dengar. Dari dulu dia duk sebut-sebut nak pegi sana. Sekarang ni rajinlah sikit dia buat exercise. Pagi-pagi lepas mandi, dia akan naik basikal exercise. Kayuh 20 minit. Petang nanti buat exercise angkat punggung, angkat kaki. Takdelah macam dulu. Bila suruh exercise dia pi tido!

Tuesday, November 26, 2013

2013-Bingka Roti



Ini kes bosan makan roti kosong. Biasa buat sikit je untuk makan la-la tu. Tapi haritu gatal pulak buat terbanyak sebab malas nak uli banyak-banyak kali. Tapi orang kat rumah ni tak suka makan roti yang dah tak 'segar'. Diorang suka makan roti yang baru keluar oven. Roti yang dah nak masuk 2 hari tu kira dah tak segar. So, takde la orang nak usik. Terpaksalah perabiskan sorang-sorang. Tapi lama-lama jadi bosanlah. Baiklah dibuat bingka roti daripada duduk dalam peti sejuk takde faedah. Boleh juga dibuat sarapan esoknya, fikirku.

Eh tapi bila dah dibuat bingka, berebut-rebut pulak orang yang berdua tu pulun makan. Malam tu jugak selamat.  Memang tak dan nak buat sarapan pagi esoknya. Bingka roti ni bahannya lebih kurang macam puding roti juga cuma cara buatnya lain sikit. Disebabkan tak boleh nak letak susu, kutukar guna santan.

Nama asal bingka ni sebenarnya Malta Bread Pudding. Tapi tekstur dia lebih kepada bingka berbanding puding.  Sebab tu aku suka-suka hati je tukar jadi bingka. Dapat resipi daripada rancangan Taste Of America tak lama dulu. Tahun 2008 kot. Tapi tak diberi resipi penuh sebab ni rancangan ala-ala jalan-jalan cari makan. Cuma ditunjukkan cara semata. So, aku tiru cara ia dibuat dengan mengagak sukatan yang digunakan dalam resipi itu berdasarkan apa yang dilihat semata. Nasib baik menjadi. Siapa yang nak cuba, ini resipinya:

Bahan-bahan:

8-10 keping roti sandwich (atau apa-apa roti pun boleh guna)
1 cawan susu segar/santan cair
2 biji telur
2 sudu tepung jagung
5-6 sudu gula (kalau nak lagi manis boleh tambah)
1 sudu teh esen vanilla
secubit garam

Cara:
Carik-carikkan roti menjadi cebisan kecil. Kemudian rendam dalam air dalam 5 minit. Kemudian ramas-ramaskan roti sampai hancur. Tapis roti dan toskan kering (kalau boleh perah supaya tak ada cecair pada roti). Masukkan roti ke dalam satu mangkuk. Masukkan bahan-bahan lain ke dalamnya dan kacau sampai sebati. Tuangkan ke dalam loaf pan(yang dah disapu minyak/mentega). Bakar di dalam oven (yang terlebih dulu dah dipanaskan) pada suhu 175C selama 45 minit atau sehingga masak. Keluarkan dari oven dan sejukkan kemudian barulah boleh dipotong.

Saturday, November 23, 2013

2013-Jom Makan Buah Tempatan

Sekarang ni kat kampung tengah musim rambutan dan manggis. Minggu lepas balik kampung dapatlah menikmati buah-buahan itu tapi tak banyak. Banyak yang belum masak. Tapi minggu ni dah masak. Mak mertua awal-awal dah kutip buah sebelum dimakan dek tupai dan monyet. Kenyang perut makan buah hari ini sampai tak makan nasik.

Best betul tinggal di kampung. Ada tanah luas. Macam-macam boleh ditanam. Macam-macam boleh dibela. Kat kampung ni selain rambutan dan manggis, ada pokok kelapa, pokok tebu, mangga, ciku, mata kucing, nenas, dan macam-macam lagilah tanaman lain yang mertua tanam. So kalau tiba musim buah memang meriahlah.

Alangkah bertuahnya kalau rumah aku pun ada kawasan luas sebegitu.

Wednesday, November 20, 2013

2013-Stail Yang Pelbagai

Tak lama dulu. Kawan tanya.

"Kau biasa kalau masak nasik lemak letak apa?"
"Aku letak santanlah!" Selamba lancar aku jawab.

Sekali kena carut.
"Aku tahulah letak santan. Selain dari santan apa yang kau letak? Bawang ke, halba ke?"

Cakap dia yang tak terang, orang pulak yang disalahkannya.
"Ooo...aku letak halia je. Yang lain tak suka letak". Aku jawab.

"Lain kali cuba letak marjerin barang sesudu. Sedap. Lain rasanya", kata kawan aku.
Ok. Aku memang darat. Tak pernah dengar orang letak marjerin dalam nasik lemak. Letak minyak masak pernahlah dengar. Kalau benar bagai dikata, let's try it out!

Makanya, semalam masa buat nasik lemak, aku taruk sekali sesudu marjerin sepertimana yang kawan aku cakap hari tu. Yang lain biasalah santan, daun pandan, halia hempuk dan garam. Wah.......................lain betul kejadiannya. Molek sangat. Nasik lebih wangi, lebih gebu dan lebih lembut. Walaupun beras yang aku guna beras biasa dan murah, tapi nasiknya tak bergumpal. Elok aje sebijik-sebijik. Memang lepas ni wajib la letak marjerin.

Nasik lemak bertemankan sambal bilis petai, telur goreng iluminati, ayam goreng kunyit dan hirisan timun batang.

Ada jugak orang masak nasik lemak letak bawang, letak rempah 4 sekawan, letak halba. Aku pernah makan kat rumah makcik. Makan sikit je. Otak aku jadi konfius kot. Ini nasik lemak ke nasik minyak ke nasik dagang? Mungkin sebab tak biasa rasa, tak boleh nak masuk.

Macam mak aku pulak kalau masak nasik lemak, cukup sekadar garam dan daun pandan sebagai pembangkit rasa. Takde halia dan segala bagai tu.

Ada jugak yang guna susu sebagai ganti santan. Baik untuk kesihatan tapi rasanya sama ke tak eh? Tak pernah cuba lagi. Pernahlah tengok kat tv orang masak guna susu. Pastu sambalnya pulak lain pesen sangat. Disangainya semua bahan untuk buat sambal, kemudian dia blend bahan yang disangai tadi sampai halus. Dah siap! Macam rupa sambal belacan dah. Warnanya kuning pucat.

Macam-macam setail orang masak nasik lemak ni kan. Korang lak macam mana?

Thursday, November 14, 2013

2013- Lemau

Mood malas masak sudah mari. Sampai ke tahap lapar, sikit lagi nak kebulur baru mengengsot masuk dapo. Badan lemau sebenarnya. Macam nak demam tapi tak demam. 3,4 hari dah macam ni. Bila dah tak larat tu, masak pun ringkas-ringkas aje asal kenyang perut semata. Semalam cuma dapat masak sayo lemak dan sotong celup tepung. Itu pun 2 sesi tau. Mula-mula masak nasik dengan sayo lemak dulu. Lepas tu berenti. Lepas mandi dan solat baru sambung masak menu kedua. Rasa macam nak duduk bersimpuh sambil masak atas lantai je. Dia punya penat satu macam!


Ambik gambo straight away dari periuk. 

Dalam sayo lemak tu letak kacang panjang, tauhu dan taugeh. Malas nak kopek ikan bilis. Gantikan dengan kiub ikan bilis je. Pastu tambah serbuk lada hitam sikit.


My favourite
Selalu bila order sotong celup tepung kat kedai tomyam, end up akan mengalami kekecewaan. Sampai-sampai tengok dah serupa cekodok sotong. Sotong setoek je, tepungnya yang lebih. Tapi mahal serupa harga kapal selam. Buat sendiri jugak yang puas hatinya. Disebabkan aku sangat menyukainya, entah berapa kali r&d dah aku buat untuk hasilkan tepung sadur yang memuaskan hatiku. Setakat ini aku puas hati menggunakan resipi yang satu ini. Kalau uols nak cuba, ini resipinya:

Bahan (untuk 6 ekor sotong sederhana besar)
2 cawan tepung beras
3 sudu tepung ubi kayu(tapioca flour)
2 sudu tepung naik sendiri
1 sudu serbuk kunyit
1-2 sudu serbuk cili-ikut kesukaan
Garam dan perasa secukupnya
sedikit air
Minyak untuk menggoreng

Cara:

  • Campokan semua bahan kering. Kemudian bahagi 2. Satu bahagian dicampokan dengan sedikit air (dalam 1-2 sudu sahaja), gaul rata dan perapkan sotong ke dalamnya untuk seketika.
  • Panaskan minyak (guna minyak banyak untuk menggoreng dan guna api sederhana kuat untuk elakkan sotong menyerap minyak).
  • Sadurkan sotong yang telah diperap tadi dengan sebahagian lagi tepung tadi. Kemudian goreng hingga masak sepenuhnya. Sotong ambik masa yang sekejap untuk masak. Bila nampak tepung dah garing, terus angkat dan toskan. Ia hanya kengambil masa dalam 3-4 minit sahaja.

Senangkan? Tepung sadur tu kalau nak guna untuk goreng udang, ayam, goreng ikan, goreng cendawan, pun boleh. Nak buat goreng pisang pun boleh. Cuma adjust sikit-sikit la. Kalau tak nak bahagi 2 pun takpe. Campo semua dan goreng pun boleh. Tapi hati-hati masa bancuhkan dengan air. Kalau sotong takleh air banyak. Kena pekat. Kalau cair, tepung tanggal time menggoreng. Gorengan sedap dimakan ketika masih panas. Andai kata gorengan sotong ni dah sejuk, gorengkan balik sekejap. Tak ada masalah. Cubalah. Insyaallah tak mengecewakan.

Tahukah anda di ketika ini aku sangat teringin untuk makan pizza? Since Naqib tak boleh makan cheese (pantang susu lembu), aku dah takde dah lah nak buat pizza. Terbayang-bayang mozzarella cheese yang meleleh-leleh bila ditarik. Ah....rindunya!!!!



Naqib pun sedih je tak dapat nak makan makanan kegemarannya itu. Maka terpaksalah buat flat bread versi lain supaya takdelah dia terasa sangat tak dapat makan pizza. Haritu buatkan focaccia untuk dia. Potong-potongkan untuk dia cicah dengan mushroom soup. Mushroom soup habis, dia bantai makan dengan gulai ayam. Aku pun tumpang makan sekali. Tapi cicah 2,3 suap je lah. Yang lain dia yang habiskan.



Hari ni nak masak apa? Singgang je kot. Ke asam pedas? Tengoklah nanti. *mengengsot ke dapo, kelebek peti ais tengok apa yang boleh dimasak.

Friday, November 8, 2013

2013-Cuba Menu Orang Lama

Pokok kesum saya dah matang dan daunnya dah dipetik dan dibuat masak pun.



Masakan ni tajuknya Timun 40 Hari (timun batang) Masak Air Berdaun Kesum. Panjang dak? Sebenarnya tak tahu namanya cuma ikut style mak masak. Ini sebenarnya masakan orang zaman dulu-dulu dah. Tapi cam jarang jumpa orang masak gini. Sekali bila mak masak tempoh hari rasa sedap pulak. Ada rasa pedas-pedas sikit pasal ada letak lada hitam. Biasa kan daun kesum letak dalam asam pedas atau laksa je kan? Boring dah. So, masak style gini pulak. Kalau tak nak guna timun pun boleh. Boleh ganti dengan petola atau labu.

Nak masaknya senang sesangat. Tumbuk/blend bawang merah 3 ulas, bawang putih 2 ulas, lada hitam dalam sesudu dengan ikan bilis segenggam. Dah lumat masukkan dalam periuk bersama air. Kemudian masukkan timun yang dah dipotong. Masukkan garam, dan sedikit gula (dalam 1 sudu teh) bersama daun kesum. Masak atas api hingga mendidih. Siap. Makan pulak dengan nasik panas, boh kuah kasi banjir. Gorengkan ikan kerisi garing-garing, meletup lah. Nasik dah habis, kuah tu hirup la. Ahhh......Nikmat.....

Nampak macam ringkas je tapi lebih sihat kot pasal tak pakai minyak. Sama macam kuah singgang.









Friday, November 1, 2013

2013- Alam Ria Cuti Sekolah

Nampaknya jin makan dah rasuk Naqib pulak. Asik makan aje kejenya. Semalam dia dah start cuti sekolah. Awal. Kelmarin(Rabu) pengetua dia call bagitahu hari tu adalah last day persekolahan dia untuk sesi 2013. Tapi orang lain hari Khamis(semalam) last. Hari ni cuti untuk sekolah buat  persediaan untuk SPM yang akan bermula minggu depan (6/11/2013).

Dah cuti ni dia asik makan lah pulok sampai dia segan nak mintak makan. Sian pulak aku tengok. Kat rumah ni takde makanan untuk kudap-kudap kecuali kalo maknya rajin menggentel menguli adalah donat ke karipap ke. Aku malas, just bancuh cekodok udang je. Sabo la ye Naqib. Nanti mak rajin mak buat cream puff deh...

Rabu tu aku ada tunjuk kat dia felt craft yang si Hidney buat and jual tu. Gila menggeletak dia nak buat jugak. [Oh ya Hidney, ko dah ada peminat]. Habis kain felt aku dia potong. Hasilnya  tak seberapa. Menyinga jugak aku bila tengok reja-reja kain bekas dia potong bersepah-sepah. Sayang betul pasal reja tu besar-besar, boleh guna lagi.



Ok lah tu. Daripada dia duk nengok tv, main game tak sudah kan???? Tapi dia ni tangan dia tak serasi pegang gunting jadi bila potong kain tepinya bergerigi dan tak ikut line yg dia dah buat. Aku malas nak alterkan. Biar dia buat sendiri, biar dia rasa puas hati dengan hasil yang dia bikin sendiri. Dah siap jelujur dia tunjuk kat aku. "Dah siap!" Katanya.

Oh nak! Sila usaha lagi ya.


IKLAN: Sesiapa yang berminat untuk dapatkan pin comel boleh order dengan Hidney ye. Sila ke sini ya:

------->blog: HANDSOME LITTLE THING
------->instagram: @handsomelittlething


Wednesday, October 30, 2013

2013- Kompilasi Senja Kian Berlabuh

Aku ni kan setiap hujung minggu travel kan. Ahad petang baru balik rumah. Memang letih la duk dalam kereta je. Sambil-sambil duk dalam kereta tu, takde buat apa, aku ambik lah gambar awan di langit, gambar pokok. Sekarang dah jadi rutin pulak. Asal pergi memana memang rasa nak ambik gambar awan. Hahaha.. Dalam tak sedar jadi bertimbun-timbun gambarnya.

Ini antara kompilasi langit tatkala matahari hampir terbenam yang aku suka. Indah sungguh ciptaan Allah.

Lokasi: Bandar Saujana Putra

Lokasi:: Bandar Saujana Putra

Lokasi: Lebuhraya ELITE

Lokasi: Lebuhraya NKVE

Lokasi: Jalan Duta

Lokasi: Kota Damansara

Lokasi: Lebuhraya NKVE

Lokasi: Taman Putra Perdana

Lokasi: Putrajaya

Tuesday, October 29, 2013

2013-Perkembangan

Lama dah tak cerita tentang perkembangan Naqib kat sini. Hujung bulan lepas jumpa dengan Dr. Feizel, pakar neuro. Dia cek Naqib itu ini, katanya tak ada banyak perubahan sejak kali terakhir jumpa. So, kiranya keadaan Naqib maintain je sekarang. Doktor ada sarankan pada kitorang sejenis ubat(L-Carnitine) tapi ubat ni tak ada dalam farmasi hospital. Kena cari sendiri kat farmasi luar. (Kitorang dah search ubat ni di internet untuk pastikan sumbernya tapi macam agak ragu-ragu juga nak beli). Ubat ini dikatakan dapat memperlahankan kemerosotan otot pada badan pesakit muscle disorder macam Naqib.

Kata Dr. Feizel, untuk appointment akan datang, doktor lain yang akan ambik alih. Dia dah tak keje kat spital tu dah lepas ni . Sedih jugaklah seposen pasal doktor ni baik sangat. Cakap pun sopan-santun je. [hensem pulok tu..hehehe]. Kemudian hujung minggu tu, balik kampung. Hari Ahad tu lepas sarapan, sambil borak dengan mak mertua sambil menonton tv. Masa tu ada rancangan apa ntah kat tv1 yang bincang tentang kanak-kanak autisme, dyslexia dll. Tiba-tiba keluar muka Dr. Feizel. Tertera kat bawah tu nama Doktor Feizel Al-siddiq, Pakar Neuro di Prince Court Medical Centre. Mmmm.. dah jadi pakar kat situ pulak rupanya. Masyuk la...

Hai...harap-harap doktor yang akan rawat Naqib lepas ni pun baik macam Dr. Feizel jugak. Insyaallah.

Sementara tunggu nombor naik, kite ketik fotogedik sekeping dua dulu ya.

Dan 3 minggu lepas jumpa dengan Dr. Dayang pulak untuk periksa bahagian respiratory pulak. Kata doktor ada nampak sikit lemah kat bahagian dinding paru-paru tapi masih dalam keadaan terkawal. Cuma katanya pernafasan Naqib ada yang tersekat( doktor ambik bacaan dari result sleep test yang dibuat akhir tahun lepas) dan dia sarankan Naqib dibuang tonsilnya supaya dia dapat bernafas dengan lebih baik tapi suamiku tak setuju. So, kata doktor, tak mengapa. Ini sekadar saranan sebab katanya lambat laun, in the future Naqib akan perlukan support machine untuk bernafas juga. (Aku harap tak sampai kena guna support machine tu la).

Ini masa tunggu turn nak jumpa Dr Dayang.
Lama bebenor menunggu  dibantainya tido.


Naqib masih lagi menjalani fisioterapi. Minggu depan ni ada sesi fisio pulak. Dan untuk rawatan alternatif, rawatan masih dijalankan setiap Sabtu. Perkembangan kalau tengok memang tak banyak la. Tapi sekarang dia dah boleh buat sit up. Kalau dulu usahkan nak angkat badan, nak angkat perut sendiri pun susah. Cumanya dia ni pemalas nak eksesais. Bila tak eksesais otot-otot akan cepat mengecut dan mengetat menyebabkan pergerakan jadi susah. Dia rela buat-buat tido kalau aku suruh dia eksesais. Lama-lama aku lak give up. Rasa nak nangis anak tak nak dengar cakap. Tapi rasa kesian pulak kadang-kadang. Keadaan dia tak sama macam kita. Dia mudah penat. Bayangkan dah balik dari sekolah, sampai rumah dia rehat dulu sebelum makan, solat. Tak boleh nak cergas, aktif macam orang lain. Pergerakannya lambat dan terbatas. Kalau buat kerja laju-laju cepat penatnya. Tapi kadang-kadang aku buat keras hati suruh dia eksesais jugak di waktu petang. Untuk kebaikan dia juga.

Tengah buat rawatan. Perasan tak ada jarum cucuk-cucuk kat kaki dan lengan dia?
Kat kepala pun ada tu. Buat acupuncture dan mesin sekali jalan.


Harapan untuk melihat dia sembuh adalah sangat tinggi. Suami aku siap mimpi Naqib dah boleh jalan elok dan boleh naik tangga. Begitulah agaknya asik mikirkan pasal Naqib je. Apa-apapun, aku letakkan pergantungan aku pada Allah. Dia Yang Maha Mendengar. Dia Yang Maha Penyembuh.


Thursday, October 24, 2013

2013-[IKLAN] Crafters Get Together 2013

Kite ada pengumuman sikit nak buat ni.

Kepada crafters (terutama yang berada di Terengganu dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya)yang berminat untuk join Crafters Get Together 2013 di bawah kelolaan sepupu kite, miyyah (http://miyyahatkertas.blogspot.com/) bolehlah contact miyyah dengan segera ya. Tempat adalah terhad.


Wednesday, October 23, 2013

2013-Mari Bercucuk Tanam



Hey awak-awak semua, ni lah pokok kesum kite.....
Haha..pokok nan sebatang ni pon nak tunjuk ke? Ala..bagi lah can orang tak reti berkebun tunjuk hasil perkebunannya. Senang je rupanya menanamnya. Yang atas ni tanam sekadar percubaan. Pasni dah boleh tanam banyak-banyak. Nak buat asam pedas, laksa senang. Pakai petik je kat luar rumah.

Pasu sebelahnya buat tanam cili. Dah 2 minggu tanam tapi belum nampak apa-apa pun yang tumbuh. Macam tak jadi je. Nak kena semai sekali lagi kot. 2,3 hari ni aku duk search blog/web yang ajar cara nak tanam pelbagai tanaman. Jumpa la. Bertambah jugaklah pengetahuan dalam hal ehwal perkebunan ni.

Rasa happy je bila tanaman tumbuh elok. Makin menggebu semangat nak bercucuk tanam. Next project: Nak tanam bawang dan daun ketumbar. Hehehehe...

Best jugak berkebun ni. Sejenis terapi minda juga. Jom kita bercucuk tanam!

Tuesday, October 22, 2013

2013-Kek Pisang

Hari tu suami beli pisang tapi tak ada siapa yang makan. Daripada biarkan jadi buruk dan ditongsampahkan baiklah kita buat sesuatu. Maka aku bikinkan kek pisang.


Eh! Bila dah jadi kek pisang, berebut-rebut pulak masing-masing makan. Tak cukup. Esoknya terpaksa beli pisang lagi dan bikin kek pisang lagi sekali. Kali ni buat 2 bijik. Satu untuk makan sendiri, satu lagi bawak balik kampung mertua.


So, sesiapa yang macam teringin nak buat kek pisang, bolehlah cuba resipi ni. Resipi ni resipi mak tapi aku modified sikit untuk lebih memudahkan proses membuatnya. Senang sangat.

Kek Pisang Makcik Mary

Bahan-bahan:

6 biji pisang berangan
6 biji telur
1 cawan minyak jagung( boh minyak masak biasa pun buleh)
8 sudu makan gula
1 3/4 cawan tepung gandum + 1/2 sudu teh baking soda-ayak bersama
Beberapa titis esen pisang

Cara membuatnya:

  • Panaskan oven pada suhu 175C.
  • Lecek pisang sehalusnya. Kemudian tambah gula dan telur. Pukulkan sebati (guna sudip kayu je). Masukkan esen pisang. Pukul sehingga sebati.
  • Masukkan tepung dan baking soda, berselang-seli dengan minyak. Gaul sekata.
  • Kemudian tuangkan ke dalam acuan dan bakar selama 40 minit atau hingga masak keemasan. Cucuk di tengah kek untuk pastikan kek masak sepenuhnya.
  • Keluarkan kek dari oven. Sejukkan sebelum dipotong.




Sunday, October 20, 2013

2013-Jangan Putus Asa Sayang!

2,3 hari lepas duk berbual dengan seseorang ni. Katanya dekat 10 tahun dah kawin, tapi tak reti-reti lagi masak. Sampai anak dia pun reti komplen. Jadi, untuk tidak mengecewakan anak dan suami, dia suka beli je. Dia dah mula rasa kecewa dan give up untuk masak. So, dia tanya aku, macam mana nak pandai masak?

Teringat la aku dulu-dulu. Dulu time bujang aku memang tak pandai dan tak minat masak. Siang ikan pun tak reti. Sampaikan kawan serumah aku cakap, "Tak paham aku kau ni. Nak kata anak bongsu yang manja, kau anak sulung. Tapi siang ikan pun tak reti!" Malu je dengar kawan aku cakap gitu. Tapi aku buat selamba sambil gelak-gelak untuk cover malu. Padahal aku masuk kelas ERT tu. Tu pun sebab mak suruh masuk. Pastu ikut je arahan cikgu. Suruh masak itu, masak. Sikit pun tak rasa nak minat. Lepas tu bila ada orang tanya reti tak masak itu, masak ini? Dan-dan je aku kata aku reti padahal hakikatnya adalah sebaliknya. Market kenalah jaga kan.... :P

Sehari sebelum nikah, aku cakap dengan mak aku tak reti siang ikan. Mak aku ngucap panjang. Katanya "Tu la...time orang masak kat dapo, dia duk senyap-senyap dalam bilik. Bukan nak tengok orang buat kerja!" Pastu mak aku bebel-bebel. Standard la mak-mak kan. Tapi takleh salahkan aku gak. Dari kecik aku banyak duduk dengan nenek. Biasalah kalau jadi cucu kesayangan mana ada kena suruh buat itu ini. Kalau balik rumah pun ada orang gaji yang buatkan. Itu yang jadi manja terlampau sampai malas serba-serbi. Pastu kalau kena tinggal sorang-sorang kat rumah, biasanya mak aku dah sediakan bahan. Aku cuma tinggal masakkan saja. Takde kena siang-siang de. Eh! Pandai je bela diri. Salah sendiri tak belajar tak nak ngaku.

Lepas dah kawin, hambik kau. Dapat suami yang suka makan ikan. Suka menu lauk-lauk kampung. Lagi, tak suka makan kat luar. Lemahnya rasa, tak reti serba-serbi. Hari-hari call mak mintak resepi, tanya macam mana nak masak itu, macam mana nak masak ini. Tapi bila hari-hari call mak aku pun macam dah malas nak layan. Sampai bila nak harapkan mak je kan. Kadang-kadang tanya mak mertua tapi jarang sangat pasal segan + malu.  Nasib baik suami baik. Dia yang ajar masak (sambil mengutuk! huhu..). Dia yang ajar macam mana nak petik pucuk ubi. Bangangnya aku masa tu bila diingatkan. Banyaknya benda yang aku tak tahu. 

Tapi bila mengandungkan Naqib tetiba aku jadi suka pulak masak. Roh masak datang la tu! Selalu masuk internet cari resipi. Aku jumpa satu grup masak-masak, terus join. Siapa dulu pernah join Grup Restoran Pak Amir? Kat situ macam-macam resipi ada. Tapi sekarang ni tak tau la ada lagi ke tak grup tu. Aku selalu la cuba masak guna resipi kat situ. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi. Mangsanya suami aku la. Buat puding kastad tak jadi, buat kuih keria pun keras. Buat puding buih mendap. Macam-macam. Tapi dia telan je. Sabar je suami aku layan bininya yang tak reti masak.

Lepas beranakkan Naqib aku berenti kerja. Jadi makin tak de alasan untuk beli makanan di luar. Kau ingat suami aku nak kasi can ke aku duduk sila panggung, silang tangan je kat rumah?  Dahlah dia sorang je yang keluar cari rezeki! Masaklah apa-apa yang aku reti masak. Ulang-ulang menu yang sama. Haha.. Tapi dari situ lah aku mula belajar dan develop skil masak. Bila terdesak kita akan jadi kreatif! Sekarang pun aku ni bukan pandai masak mana pun, lepaslah nak bagi keluarga makan. Nak masak sedap tara mana sangat pun. Bukan kita nak bukak restoran pun kan? 

Jadi, ikutkan dari pengalaman aku, rasanya tak terlambat untuk kita belajar masak asalkan ada minat dan usaha. Bila takde yang dua itu, itu yang menyebabkan kita malas masak. Masak sekali sekala memang tak jadi. Kena buat hari-hari. Memasak ni perlukan pengalaman. Tengok mak-mak dan nenek-nenek kita, ada diorang belek resipi time masak? Takde kan? Sebab diorang duk selalu masak hari-hari. Otomatik jadi reti sendiri nak mengagak sukatan lemak-masin-manisnya. Kadang-kadang masak simple je, tapi sedapnya kemain. Air tangan juga mainkan peranan yang penting. Nak masak, kuku biar pendek, tangan biar bersih. Bukan sebab dari sudut agamanya sahaja menyaran kebersihan, tapi dari segi sainsnya juga. Kekotoran yang ada pada kuku tu boleh menjangkitkan kuman ke dalam makanan.

Tak reti boleh belajar. Tak tau boleh tanya. Kalau benak sekali pun takkan goreng telur dadar pun fail! Tambah lagi kat internet, melambak-lambak resipi. Ko tinggal petik je nak resipi apa. Antarabangsa tak antarabangsa semua ada. Video masak pun berjenis-jenis. Sampai lebam bijik mata lah kalau kau tengok. Yang tinggal cuma USAHA. Harapan tetap ada kalau kita usaha. Kalau kita sekadar merenung nasib diri dan tak buat apa-apa, mana nak datang hasilnya.

Bak kata Adnan Sempit, " Di mana ada kemahuan, di situ ada highway!"
Makanya, jangan  GIVE UP!




Friday, October 18, 2013

2013-Port Baru JJCM

Minggu lepas appointment Naqib dengan klinik jam 5 petang. Biasa pukul 4 petang tapi yang pukul 4 petang tu dah penuh. Maka, diorang bagi yang pukul 5 itu. Tapi kitorang sampai terlampau-lampau awalnya. 3.30 dah sampai. Kes terbiasa keluar jam 2 petang, terlupa yang temujanji pukul 5 petang. Dah tu takkan nak melangut je kat klinik tu kan? Kebetulan perut pulak sedang elok je kelaparan. Padahal tengahari tu dah makan. Itu pasallah suami aku cakap aku ni bela jin. Makan tak sudah-sudah. So, carilah tempat makan. Menyusurlah dari Kuala Selangor sampailah dah dekat nak ke pekan Tanjung Karang. Dan kitorang ternampak satu tempat makan ni. Namanya Restoran Dinding Gelas Besar. Terus masuk situ sebab tengok restoran adalah cantik dan semenggah.

Restoran ni baru lagi. Baru bukak bulan 8 itu hari. Kira baru dalam 2 bulan beroperasi. Restorannya dalam pagar,  terletak depan rumah orang. Rumah tauke restoran dan anak-beranaknya sendiri la kot. Kawasan sekitarnya bersih je. Kitorang cari tempat duduk kat bahagian tepi. Yang paling dekat dengan tempat kitorang park kete. Jadi takdelah jauh sangat Naqib kena berjalan. Korang tak yah bimbang pasal parking ya. Pasai pihak restoran ada sediakan tempat parking kat dalam kawasan restoran tu. Siap bertar lagi.

Aku dengan suami order nasik ayam. Naqib order nasi goreng patayya. Air lak, air buah la. Nama pun Restoran Dinding Gelas Besar kan... tapi kitorang order gelas kecik je. Tak mampu la nak habiskan yang gelas besar tu. Nasik ayam sedap. Ayamnya banyak. Nasik goreng patayya nya pun boleh tahan. Rasa macam style mak-mak kita masak. Airnya memang pure. Memang terasa buahnya.

Nasik ayam. Air tembikai, epal asam boi dan ribena laici.

Naqib dengan nasik goreng patayyanya.
Mana-mana pergi menu ni la yang dia duk order.
Alhamdulillah nasi goreng kat sini sedap.

Yang paling aku suka pasai restoran ni ada kemudahan musolla. Sonang kan. Sementara tunggu order sampai boleh pergi solat dulu. Kemudian bolehlah makan nasik dengan tenang.  Kecik comel je musollanya.

Tempat solat

Dalaman restoran tu. Masa ni dah dekat pukul 4 petang. Orang tak berapa ramai.
Ada dalam 2,3 keluarga yang tengah makan masa kitorang sampai tu.
Restorannya kecik tak kecik, besa tak besa la. Jenis santai dan terbuka.
Next time boleh datang lagi. Lepas ni kalau datang nak cuba menu lain pulak. Dengar ceritanya ada nasik kerabu, bakso dan lain-lain. Siapa-siapa yang ada kat area Tanjung Karang, Kuala Selangor bolehlah singgah di restoran ni.

Ini facebook diorang ----> https://www.facebook.com/RestoranDindingGelasBesarTgKarang.
Boleh jenguk situ untuk maklumat lanjut.

Thursday, October 17, 2013

2013-Beraya

Disebabkan aku beraya di rumah sendiri, juadah raya adalah simple. Rebus nasik impit, bikin kuah kacang dan sate goreng je. Dan buat 2 bekas trifle pudding sebagai pencuci mulut. Pagi tu beraya sesama sendiri je. Lepas Zohor baru keluar beraya di rumah pakcik di Jinjang.

Juadah hari raya yang  simple dan disukai anak dan suami.


Triffle. Buat 2 bekas. Satu bawak untuk keluarga pakcik. Satu aku ngap sengsorang.
Buruk lantak kan? Pepagi raya bukak peti sejuk, terus sodok masuk mulut.
Sejuk tekak....


Pakcik aku tengah renovate rumah dia. So,faham-faham jelah kalau rumah tengah reno ni. Tapi itu tidak menghalang makcikku untuk memasak juadah hari raya yang enak. Ada makaroni bakar, ada bihun goreng, ada sup tulang, puding karamel, puding kastad dan lain-lain. Kenyang gila la makan. Suami siap tertido kekenyangan lagi. Lepas tu, bangun tido sambung makan lagi. Amboi amboi amboi....

Lepas makan layan movie.


Some part yang belum siap reno. Bahagian dinding dan siling. Overall aku
suka dengan designnya.

Lepas dah makan, minum, tergolek, then bangun dan makan, minum lagi sekali, barulah reti nak balik. Dapat sikit daging korban pakcik bagi. Ini jelah satu-satunya kunjungan raya kitorang sebab sedara-mara lain balik kampung dan ada yang terpaksa bekerja di hari raya. Apa nak buat. Demi tugas kan... Pukul 6 lebih baru bergerak pulang. Sampai rumah tepat pukul 7. On the way balik dari rumah pakcik tu, adik ipar (Cik Mila) call. Katanya nak hantar juadah raya yang mak mertua kirim. Suka tak? Suka Tak? Mestilah suka. Tak dapat balik kampung pun dapat rasa juadah raya dari kampung. Hehe..




Monday, October 14, 2013

2013- Bila Tiba Hari Raya

Hari ni Naqib masih bersekolah. Pagi tadi waktu menghantarnya ke sekolah jalan agak lengang. Sampai kat perkarangan sekolah pukul 6.55 pagi, suasana kosong je tak macam biasa. Takde budak. Cuak jugak sekejap. Waktu aku sorong Naqib menuju ke kelasnya, ada sorang budak tengah berbual dengan cikgu. "Cikgu, saya dua orang je yang datang cikgu. Kensel je lah kelas cikgu". Kemudian cikgu tu pusing-pusing tengok sekeliling sekolah. "1, 2, 3, 4, (cikgu tu kira budak yang hadir, termasuk Naqib dan seorang lagi murid perempuan). Hah! 4 orang. OK lah tu...." kata cikgu. 4 orang je? Penat cikgu-cikgu datang sekolah tapi murid tak datang. Tapi ya lah...nak raya kan. Mungkin ramai dah balik kampung. Mulanya aku ingat nak suruh Naqib ponteng je tapi suami tak bagi. Katanya jangan diajar sangat anak ponteng. Dahlah minggu lepas dia dah cuti dekat 2 minggu sempena PMR.

Raya kali ini kitorang beraya kat rumah je. Memang kalo raya Haji ni kitorang jarang balik beraya di kampung sebab kampeni  suami bagi cuti sehari je. Jiran-jiran pun ramai yang tak balik. Semalam dah siap dah beli barang-barang untuk masak raya. Beli ketupat mini, beli kacang tanah, beli ayam dan bumbu untuk dibuat sate goreng. Kebetulan ada belimbing buluh, beli sikit. 40 sen je. Hikhik.. Hari ni masakkan gulai ikan aye(tongkol), letak belimbing buluh. Masyaallah...tengok je pun dah rasa lazat(perasan masak sedap). Semangat aku masak awal hari ni kerana belimbing buluh. Japgi dah masak nasik, bolehlah kita makang!


Asyik lapar je lah lately sampai suami aku cakap, "Abang rasa sayang ni ada bela jin la. Asik lapar je..tak kenyang-kenyang!" Huahuahua...Ya. memang jin! Jin pakai toncet.

Di kesempatan ini aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Selamat menunaikan korban kepada yang menyertai korban tahun ini. Yang dalam perjalanan pulang ke kampung tu sila berhati-hati ya. Bersopan-santunlah di jalan raya, tapi jangan pulak sampai bersimpuh masa tengah bawak kereta!

Kepada adik-adikku yang berada di kampung, ingat-ingatlah akan kakak dan abang mu di sini. Jangan bedal juadah raya membabi buta ya. Kakak jeles di sini tak dapat makan masakan dari air tangan mak kita. Kesian. Sekian.

Wednesday, October 9, 2013

2013-Semangat Bercucuk-tanam

Aku sekarang tengah rajin bercucuk tanam. Semangat bercucuk tanam menggebu sejak-sejak pokok orkid yang aku beli tahun lepas dengan kawan aku tu mula nak berbunga. Perasan orkid tu mula keluar kudup 2 minggu lepas. Gembira tak terkata. Setahun menunggu tau!


Begitu jugak dengan pokok bunga cicak ni. Sebelum ni aku tanam kat luar pagar tepi longkang. Konon-konon wat landskap kasi cantik. Siap susun bata zigzag-zigzag lagi. Tapi jiran sebelah(bukan jiran sekarang) tak hargai. Dia main langgar je landskap aku dengan kereta dia hari-hari. Tambah budak-budak main bola main lanyak je. Sedih. Lalu aku putus asa untuk bercucuk tanam di luar. Tanam dalam pasu pulak. Tapi tak berbunga-bunga. So suami aku cantas tinggal sepasu ini je. Ni baru galak berbunga.


Pokok bunga kertas tak payah ceritalah kan. Memang berbunga sokmo. 



Bila tengok pokok semua berbunga, semangat bercucuk-tanam datang. Boleh kata kalau boleh semua benda nak tanam. Tapi lebih kepada sayo-sayoran. Sayo kan mahal sekarang. So tanamlah sendiri seperti saranan menteri. Sekarang aku dah mula tanam daun kesum, daun bawang, cili padi(entah berapa kali tanam asik mampus), halia. Next nak tanam tomato, sawi, kacang bendi pulok. Err...nak tanam lettuce jugak. Tak taulah sesuai ke tak. Dulu kat belakang tu ada tanam kunyit tapi suami sudah buang. Tinggal serai dan daun pandan. Pokok kari adik ipar sedekah. Hikhikhik..

Jiran sebelah kiri rumah aku yang sekarang ni rajin bercucuk-tanam jugak. Subur-subur pokoknya. Jeles aku. Baru ni dia nak bagi pokok cili habanero kat suami. Entah mana dia dapat entah tapi suami aku jual mahal pulak. Susah nak dapat tau! Ruginya.. Katanya pedas sangat sapa nak makan. Pastu jiran aku ni tanam pokok betik dengan mangga kat depan, kat tempat aku buat landskap dulu. 3 pokok. Satu dah tumbang tak sempat nak besar. Baru tinggi sekaki kena lanyak dengan budak-budak main bola. Lepas tu tangan tak reti nak diam, main petik daunnya. Jahanam pokok tu. Pastu bila pokok tu dah tumbang, diorang cabut pastu baling masuk rumah aku. Ish..budak-budak ni mencabar kesabaran betul. Hari tu pokok mangga jiran sebelah kanan aku jadi mangsa. Buahnya banyak dan baru nak masak, budak-budak ni petik pastu buat baling dalam longkang. Pastu gelak-gelak. Sayang betul bila tengok buah dikerjakan begitu. Bila diorang nampak aku tengah perhati diorang, cepat-cepat diorang lari. Tau pun takut! Tau pun buat salah! Tak dapat kubayangkan nasib buah betik itu nanti!

Baru-baru ni mak mertua aku tanya tak nak tanam labu? Cepat-cepat suami cakap, "Dia bukan suka labu mak....". Hehehe...aku memang tak berapa suka labu. Sekarang ni projek terbantut pasal tanah dah habis. Nak kena pergi beli dulu. Sebelum ni suami rembat tanah mak dia kat kampung. Suka-suka hati je kan. Nasib baik mak mertua tak kisah. 

Kadang-kadang geli hati sendiri. Sikit-sikit pi cek tanaman. Punyalah semangat berkebun. Harap-harap pokok-pokok ni berkerjasama dengan aku. Janganlah main mati-mati tengah jalan. Good luck to me!


Tuesday, October 1, 2013

Perancangan Allah Yang Sangat Sempurna

Dulu aku macam pernah cerita ada sorang kawan yang nak bagi aku RM50k untuk bukak kedai makan. Aku cerita kat blog lama kot. 3 kali rasanya dia offer. Konon-kononnya nak tolong kawan. Katanya, untung 60% aku, 40% dia.  Mula-mula dia (Ramli) suruh bukak kedai makan kat area Bangi. Di saat-saat akhir tak jadi. Ada la yang suami aku tak puas hati. (Banyak sebenarnya tak puas hati pasal suamiku jenis perfectionist. Kalau tak memenuhi kriteria dia, dia takkan terima). Lepas tu dia suruh aku meniaga kat food court. Food court tu sikit punya mahal sewa bulanannya. Gerai 5'x5', sebulan RM5000. Dahlah tak boleh masak-masak kat situ. Kena masak siap-siap dari rumah. lepas tu nak kena hire pekerja lagi. Macam tak berbaloi dengan untung yang akan kitorang dapat. So suami aku tak nak walaupun dah siap survey tempat, buat belanjawan segala. Buat kali yang ke-3, dia offer lagi. Kali ni dia suruh bukak kedai jahit pulak. Tapi aku tolak pasal masa tu sibuk berulang bawak Naqib ke spital. Boleh dikatakan memang ada je yang menghalang collaboration antara aku dengan Ramli. Takde rezeki kata orang. 

Syukurlah aku tak terima offer dia tu. Rupa-rupanya dia dah tipu kawan aku, Nana. Ceritanya, si Ramli ni kontraktor yang dapat tender dari kerajaan negeri untuk buat satu projek. So si Ramli ni pi sub kan projek tu pada Nana. So Nana ni pulun la buat projek tu sampai siap. Bila dipertandingkan siap dapat nombor 3. Alih-alih bila dapat duit, si Ramli ni boleh pulak buat tak tahu. Dia bayar kat pekerja dia je. Tak bayar pun kat Nana dengan seorang lagi kawannya. Dahlah dia mark up harga tinggi masa submit sebut harga. Adoi...aku tak sangka si Ramli tu gitu. 

Kesian Nana. Tungkus-lumus dia buat kerja tapi satu sen pun tak dapat. Nak report polis tapi takde bukti yang dia tipu. Nak dakwa pun susah. Karang duit tak dapat, lagi mana nak cari duit nak bayar peguam. Apa jenis orang la tipu kawan sendiri? Bila mintak duit, ada je alasan dia nak belit. Kata Nana, si Ramli ni buat bisnes atas angin. Semua kerja orang lain yang buat. Yang dia just tunggu bayaran.


Ya Allah! Apa agaknya nasib aku kalau aku terima offer dia? Dan lagi, minggu lepas ada orang bisik kat aku, food court yang aku hampir-hampir sewa tu dah tutup untuk selama-lamanya sebab tak laku. Syukur aku lagi sekali. Kalau tidak dengan aku aku sekali la melingkup. Subhanallah. Perancangan Allah tu sangat sempurna!

Wednesday, September 25, 2013

2013- Merempan Merepek

Banyak benda yang nak dirempanrepekkan.

1. Aku dolu dolu dolu guna beras cap buah-buahan[edited] yang katanya established sejak 1983. Suka sebab beras ni tak cepat basi. Ko masak tengahari ni, tengahari esoknya pon tak basi lagi walopun tak diperangatkan. Tapi lepas tu terberhenti guna sebab beras ni susah nak jumpa. Stengah kedai ada, stengah kedai takda. So, mula guna beras yang ada muka Dato' Jalaluddin Hassan tu pulak. 

Kemudian baru-baru ni suamiku dapati beras  tu ada dijual di kedai borong dekat dengan rumah ni. Dah habis beras  kitorang pun beli beras tu. Tetapi, kualitinya dah tak macam dulu. Cepat beno basinya. Mula -mula aku perasan kalo masak tengahari ini, esok paginya memang gerenti nasik dah basi. Macam semalam, suami balik lambat sebab ada seminar. Balik rumah nak makan nasik (masa tu baru pukul 12am), nasik dah basi ye. Macam pelik cepat sangat basinya. Padahal tengahari tu masak. Nasib baik suami tak lapar sangat pasal dah makan roti canai dengan kawan-kawannya sebelum tu. Hish! Apa nak buat dengan beras tu? Baru beli. Banyak lagi. 

2. Dah 2 hari tak sihat. Macam nak demam tapi tak demam. Lemau je. Sakit kepala nyut-nyut campo sakit pinggang macam nak putus. Baring je kejenya. So pagi tadi, bekalkan Naqib yang ringkas-ringkas je. Lempeng dengan sambal sardin. Tak kuasa nak masak beria. Balik dari hantar Naqib, singgahlah beli bihun goreng kat satu gerai ni. Akak tu pun bungkuskan bihun tu, letak sikit sambal. RM3 ye. Nak tercekik aku dengar harga. Terkunci mulut terus. Dalam rela tak rela je aku serah duit 3 hinggit kat akak tu. Macam tak jadi beli pun ada.  Kalau tak kerana aku ni tak larat nak main masak-masak ni, takdenya aku nak perabis duit membeli. Balik rumah, terus bukak bungkusan bihun. Nak tengoklah kot ada emas 916 seketul ke kat dalam tu yang mahal sesangat. Kuis-kuis takde apa yang special. Bihun goreng bodoh je. Ada la 2 ketulan ayam beso ibu jari, dengan sawi bersimpul. Nak menangis sementara nak perabiskan bihun goreng tu. Paksa sodok  masuk mulut. Rasa kureng...



Di sini nak beritahu, bukanlah aku sengaja bersungut, tak nak bersyukur dengan rezeki yang Allah beri ni. Tapi, ini soal perikemanusiaan. Soal penindasan. Melampau sesangat akak ni letak harga. Kalau nak meniaga tu janganlah menganiaya orang. Masing-masing pun mencari rezeki. Tapi biarlah cara ko mencari rezeki dengan cara yang sempurna yang tak mendatangkan sakit hati dan punah jiwa pada orang lain. Nak letak harga pun biarlah sepadan dengan rasa dan kualiti yang diberikan. Kalau takde orang lain tadi kat gerai dia, mungkin ku dah slow talk bagitahu harga dia jual mahal. Tapi ada orang lain, takkan nak cakap depan-depan gitu. So, lepas ni aku tak nak pergi dah gerai ko kak. Boikot!

3. Dapat anak saudara baru lagi. Budaknya dah masuk 20 hari lebih dah. Namanya Abdul Rahman.


Mata sepet, hidung mancung. Entah ikut sape. 

4. Hari ni birthday suami kite tau. Semalam dia sampai rumah kan dah lewat. Saja je aku peram buat-buat tak tau. Tak wish apa-apa pun kat dia. Tapi pagi tadi, dia jaga dari tido terus aku bisiklah kat dia 'Happy birthday'. Sengih je dia. Selamat meniti hari tua ye bang...! Dia tak tau, senyap-senyap aku order kek dengan jiran. Tapi ni dia balik lewatlah pulok. Ada training. So, padan tengok jelah keknya. Nak ngap tak boleh.


Fruit flan cake. Harga RM30 je. Murah kan????


Okeh. Cukup setakat 4 la dulu. Esok-esok kita tambah lagi ya.

Wednesday, September 18, 2013

2013-Karipap Gergasi

Hari tu kan aku ada cakap nak cuba karipap gergasi Kuala Selangor tu kan. Minggu lepas, hari Sabtu, dah singgah beli.


Wah! Rupa-rupanya dah pernah kena terjah dengan JJCM. Patutlah tiap kali lalu situ ramai je orang berenti gerai jual karipap gergasi itu. Rasanya boleh tahan. Beli dua je sebab nak rasa. Satu inti ayam, satu inti daging. Memang gergasi karipapnya. Beso lagi dari tapak tangan. Makan satu dah cukup kenyang. Dan intinya terasa rempahnya, isi ayam/dagingnya beso-beso gedabak. Harga sebijik RM3.50. Kalau tambah telur rebus sebijik dalam tu lagi ok kot. Pasni nak try buat sendiri.

Tapi apa-apa pun aku lebih suka karipap yang saiznya kecik comel. Sebab senang nak makan. Kalau beso, dah kena potong-potong bila nak makan, leceh. Berkecah pulak tu. So, kalau ada sape-sape nak cuba, bolehlah jalan-jalan ke Kuala Selangor. Areanya dekat Kampung Assam Jawa kalau tak silap. Dekat dengan simpang 3 tonggek-sebab simpangnya tak lurus. Berdepan dengan Taman Belibis (husband ku sebut Taman Iblis). Kalau dari highway LATAR, jumpa cendol bakar dulu(belah kanan). Ke depan sikit bolehlah jumpa gerai karipap gergasi ni belah kiri.

Thursday, September 12, 2013

2013-Cendol Durian Borhan


Kesahnya, minggu lepas terawal pulak sampai ke klinik rawatan Naqib. Appointment pukul 4, tapi pukul 3 lebih dah sampai. Biasa jalan kat pekan Kuala Selangor tu sesak tapi hari tu lengang pulak. Itu yang sampai awal tu. Suami tanya, nak berenti makan kat cendol Borhan ke? Eh..nak aje. Sebelum ni tengok sambil lalu je. Teringin jugak nak rasa tapi segan nak cakap kat suami. Biasanya kalau lalu situ kereta berjujuk tapi hari ni mungkin rezeki kitorang. Lengang je. So berenti la pekena cendol durian kat situ.


Perghhh...Sedap weh.. Semangkuk rasa tak cukup.  Memang takleh lupa dia punya rasa. Tu yang setompok kuning tu isi durian ya. Harga boleh tahan. Kira murahlah kot. RM2.50 semangkuk. Selain cendol durian ada lagi cendol dengan isi yang berlainan tapi tarikannya dah tentu cendol durian. Ada jugak jual laksa. Budak yang ambik pesanan tu tanya nak laksa ke apa ke tapi kitorang ni aimnya cuma pada cendol durian, maka takde lah nak pesan makanan.

Kalau ikutkan sepanjang jalan ke Kuala Selangor tu berderet-deret kot jual cendol. Cendol Bakar lah, Cendol Ayu lah tapi Cendol Durian Borhan gak yang jadi pilihan sebab suami kata cendol kat situ memang sedap.

Sapa-sapa yang ke Kuala Selangor tu, nak makan cendol, memang ku rekemen cendol durian Borhan ni. Lokasinya dalam 5 minit dari Giant Kuala Selangor yang baru dibuka tu. Kalau dari Kuala Selangor, gerainya belah kanan. Sepanjang jalan pun ada signboard Cendol Durian Borhan. FYI, Cendol Durian Borhan dah ada banyak cawangan. Kat Terengganu pun ada. So, kalau jumpa silalah cuba. Tapi tak jaminlah rasanya sesedap yang ori buat.

p/s: Lepas ni rasa nak try Karipap Gergasi kat area Bukit Rotan pulak. Tiap-tiap minggu lalu situ macam teringin pulak nak cuba.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Catatan Seorang Siti 2011. Powered by Blogger.